Laos akan bertemu Malaysia yang berbeza di perlawanan akhir Piala AFF B-19 nanti – Hassan Sazali

849

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-19, Hassan Sazali berkata pasukan Laos bakal berdepan dengan pasukan yang berbeza pada perlawanan akhir Piala AFF B-19 Jumaat ini.

Hassan berkata demikian selepas anak buahnya berjaya mempamerkan aksi yang cukup mantap pada perlawanan separuh akhir apabila berjaya berjaya menumbangkan gergasi Asia Tenggara iaitu Vietnam 3-0 sekaligus berjaya mara ke perlawanan akhir.


“Saya akan mengekalkan kesebelasan utama pada perlawanan separuh akhir untuk perlawanan akhir nanti kerana kita mahu kekalkan momentum kemenangan tersebut, jadi Laos bakal berdepan dengan pasukan yang berbeza seperti perlawanan dalam kumpulan sebelum ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu, pada perlawanan terkahir Kumpulan B, skuad Harimau Muda tumpas 1-0 di tangan Laos hasil sepakan penalti.

Untuk perlawanan akhir menentang Laos nanti, Hassan memberitahu beliau sudah mempunyai perancangan taktikal yang akan digunakannya nanti berdasarkan perlawanan terdahulu dan berdasarkan perlawanan separuh akhir yang menyaksikan Laos berjaya tewaskan Thailand.

“Saya melihat pasukan Laos mempunyai kepantasan dari seri penyerang di mana mereka akan menyerang secara berkumpulan dan mereka akan kembali semula ke kawasan mereka apabila transisi dari menyerang kepada bertahan. Ini adalah kelebihan yang ada pada pasukan mereka.

Jadi saya perlu mencipta ruang kehadapan bagi kita membuka ruang lebih besar kepada barisan serangan kita.”

Dalam pada itu, pengendali berusia 57 tahun itu berkata walaupun anak buahnya beraksi dengan baik pada perlawanan separuh akhir, namun beliau mengakui masih ada kelemahan yang masih perlu diperbaiki menjelang perlawanan akhir.

“Kita masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki dan salah-satunya adalah di bahagian sayap kiri dan kanan yang mana kita perlu lebih kemas di bahagian tersebut supaya tidak memberi ruang kepada pihak lawan.”

Malaysia yang akan turun menentang Laos esok bukan sahaja mahu merebut gelaran juara Piala AFF B-19, tetapi juga membalas dendam atas kekalahan pada perlawanan di peringkat kumpulan tempoh hari.