KL City FC, Kedah Darul Aman FC berpeluang julang Piala AFC di hadapan penyokong sendiri

4,516

Wakil Malaysia di Piala AFC, KL City FC dan Kedah Darul Aman FC berpeluang untuk menganjurkan perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 22 Oktober ini.

Ia berdasarkan undian yang dijalankan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).


Namun kedua-dua kelab itu harus menempuh cabaran memenangi empat perlawanan pusingan kalah mati terlebih dahulu sebelum bercita-cita untuk menganjurkan perlawanan akhir kejohanan berprestij itu.

Mereka terlebih dahulu harus menang pada peringkat separuh akhir zon ASEAN di mana KL City akan menentang pasukan Vietnam, Viettel FC manakala Kedah pula akan bertemu kelab Indonesia, PSM Makassar.

Kedua-duanya di gelanggang lawan pada 9 dan 10 Ogos.

Bagi KL City, mereka akan menjadi tuan rumah bagi perlawanan akhir zon ASEAN pada 24 Ogos sekiranya berjaya menundukkan Viettel.

Juara bagi zon ASEAN akan mara ke pusingan separuh akhir antara zon (inter zone) bertemu wakil India, ATK Mohun Bagan FC pada 7 September.

Jika mara, pemenang antara pasukan Eastern Long Lions dan juara zon tengah iaitu FC Khujand dan PFC Sogdiana akan menanti pada perlawanan akhir antara zon pada 5 Oktober.

Pemenang perlawanan akhir antara zon kemudian akan mara ke perlawanan akhir Piala AFC menentang juara zon barat yang akan ditentukan antara pasukan Arabi SC (Kuwait), Al Seeb (Oman), East Riffa (Bahrain) atau Al Riffa (Bahrain).

Kredit: AFC

Perlawanan akhir Piala AFC 2022 akan berlangsung pada 22 Oktober.

Sebelum ini, pasukan Johor Darul Ta’zim pernah mengharumkan nama negara dalam kejohanan tersebut selepas menjuarai edisi 2015 apabila menewaskan kelab Taijikistan, Istiklol di gelanggang lawan iaitu Stadium Pamir yang terletak di Dushanbe.

Sekiranya KL City atau Kedah berjaya mengulangi kejayaan itu musim ini, ia pastinya lebih manis kerana dapat meraikan di hadapan penyokong sendiri.