Sarung kembali jersi kebangsaan selepas 10 tahun, kisah Ryo Miyaichi boleh dijadikan inspirasi

16,529

Mungkin ramai yang sudah lupa akan pemain lincah Jepun, Ryo Miyaichi yang pernah hangat satu ketika dahulu kerana dianggap sebagai salah seorang ‘wonderkid’.

Pemain sayap yang digelar ‘Messi Jepun’ satu ketika dahulu itu hadir ke Arsenal pada 2011 dengan reputasi tinggi dan diharap mampu menggegar Liga Perdana Inggeris mengikut jejak legenda Korea Selatan, Park Ji-sung.


Namun beliau gagal mencapai jangkaan dan harapan yang diletakkan oleh penyokong kepadanya kerana kecederaan serius dan ringan yang kerap dan perlahan-lahan namanya ‘lenyap’ dari bibir penyokong dan dilupakan begitu saja.

Selepas gagal mencipta nama di Arsenal selepas kerap kali dipinjamkan ke pasukan lain setiap musim, Miyaichi berpindah ke kelab Jerman, FC St. Pauli pada tahun 2015 dan berjaya menghidupkan kembali kariernya di Eropah.

Beliau akhirnya kembali ke tanah air menyertai kelab Yokohama F. Marinos sejak tahun lalu.

Sepanjang kariernya, Miyaichi hanya melakukan dua penampilan antarabangsa, itu pun pada tahun 2012.

Dan tahun ini beliau dipanggil semula dalam skuad kebangsaan untuk menghadapi Piala Asia Timur EAFF yang akan bermula 19 Julai ini.

Siapa sangka selepas 10 tahun pemain yang pernah dianggap ‘flop’ satu ketika dahulu itu bangkit untuk menyarung jersi kebangsaan semula?

Ini sebenarnya boleh dijadikan inspirasi kepada beberapa pemain tempatan yang sudah lama tidak mewakili Harimau Malaya tetapi sebenarnya boleh diberi peluang berdasarkan prestasi semasa.

Antara pemain-pemain yang dilihat mampu untuk menyarung kembali jersi Malaysia adalah pemain PJ City FC, Mahalli Jasuli dan Khyril Muhymeen, Gary Steven Robbat (Sabah FC), Kenny Pallraj, J. Partiban dan Hadin Azman (KL City FC).

Khyril kali terakhir menyarung jersi Malaysia pada 2013 manakala Gary pula pada 2014, sementara Mahalli pada 2018.

Trio KL City iaitu Kenny, Partiban dan Hadin pula kali terakhir mewakili negara pada 2019.

Mungkin ada yang menganggap bahawa mereka masih lagi tidak cukup bagus untuk mewakili skuad kebangsaan dan skuad sedia ada harus dikekalkan.

Perkara itu mungkin benar tetapi kesemua pemain itu boleh diberikan ruang untuk mewakili negara pada perlawanan atau kejohanan yang tidak terlalu penting seperti Sukan SEA dan juga Piala AFF.

Malah Thailand juga sudah tidak memandang Piala AFF dan hanya mahu menjadikan kejohanan itu sebagai pendedahan buat pemain muda.

Jepun tidak menggunakan skuad utama mereka bagi menghadapi Piala EAFF sebaliknya memberi peluang kepada hampir semua pemain daripada liga tempatan.

Ini dapat memberi ruang kepada pemain-pemain utama negara bersedia dan memberi tumpuan lebih terhadap kejohanan yang lebih besar terutamanya Piala Dunia 2022 Qatar.