Jacob Joseph elak dari beri sebarang komen, bergegas tinggalkan balai ketibaan  

786

Ketua jurulatih skuad wanita negara, Jacob Joseph dilihat mengelak dari memberikan sebarang kenyataan terhadap kegagalan pemainnya di kejohanan Piala AFF Wanita 2022 baru-baru ini di Filipina.

Jacob yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tampak bergegas meninggalkan kawasan balai ketibaan dan enggan ditemu bual oleh Harimau Malaya.


Kelibat Jacob juga gagal dikesan pada sesi bergambar kumpulan yang dilakukan di hadapan pintu ketibaan.

Hal ini berkemungkinan kerana prestasi tidak memberangsangkan anak buahnya di kejohanan Piala AFF apabila hanya berjaya mendapatkan dua mata daripada lima perlawanan keseluruhan.

Lebih menyedihkan, skuad kebangsaan hanya berjaya menjaringkan satu gol pada perlawanan menentang Singapura menerusi sepakan percuma yang dilakukan oleh ketua pasukan, Steffi Sidhu.

Sebelum ini, terdapat beberapa desakan dari pelbagai pihak agar barisan kejurulatihan Malayan Tigress dirombak dengan segera untuk memperbaiki semula prestasi pasukan ini.

Namun begitu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Saifuddin Abu Bakar tidak akan membuat keputusan terburu-buru, sebaliknya akan melakukan penilaian laporan daripada barisan kejurulatihan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Corak taktikal dan pendekatan bertahan yang digunakan oleh Jacob menyebabkan pasukan gagal mempamerkan ketajaman di bahagian serangan sehingga hanya mencatatkan keputusan seri di perlawanan menentang Indonesia dan Singapura.

Malayan Tigress mengakhiri saingan Piala AFF 2022 di tangga kelima di belakang pasukan jiran, Singapura yang berada di ranking lebih rendah.

Sebagai rekod, ini merupakan kali ketiga Jacob bersama barisan kejurulatihan pasukan wanita negara.