Nasib Stadium Shah Alam masih belum pasti, PRU-15 mungkin ubah segala-galanya
Keputusan mengenai Stadium Shah Alam sama ada akan terus dikekalkan atau sebaliknya akhirnya terjawab pada hari ini selepas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan bahawa ia akan dibangunkan semula oleh pihak luar.
Menurut Amirudin, kerajaan negeri membuat keputusan tersebut setelah melakukan pertimbangan teliti sejak tahun 2013.
Walaupun begitu, tidak boleh dilupakan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) juga dijangka akan diadakan pada tahun ini atau tahun depan dan ini sebenarnya akan memberi kesan besar terhadap keputusan tersebut.
Jika dilihat kes sebelum ini, banyak projek-projek pembangunan seperti ECRL terpaksa mengalami perubahan daripada rancangan asal selepas kerajaan bertukar tangan.
Jadi masih terlalu awal untuk menjangkakan apa yang akan berlaku kepada stadium itu walaupun keputusan telah dicapai.
Surat Niat (LOI) bagi membangunkan stadium berusia 28 tahun itu telah diserahkan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).
Amirudin berkata MRCB diminta untuk menyerahkan cadangan terperinci mengenai pelan penambahbaikan atau pembangunan semula stadium berkenaan.
Tambahnya, kerajaan negeri membuat keputusan untuk tidak membaik pulih stadium itu kerana melibatkan wang rakyat berjumlah RM787 juta.
Bagi projek pembangunan itu, kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan sebarang kos kerana ia bersifat perkongsian awam swasta (public private partnership).
Ia juga akan menerima sebahagian daripada keuntungan pemaju bagi pembangunan bercampur.
Warga Selangor juga akan mendapat kompleks sukan dan fasiliti sukan yang terkini dan berteknolgi tinggi.
Daripada perbincangan yang berlaku, masalah banjir dikenal pasti menjadi punca utama yang menyebabkan ia rosak teruk.
Selain itu, kapasiti stadium yang terlalu besar dengan 80,372 tempat duduk adalah terlalu tinggi dan sukar untuk diselenggara.
Projek pembangunan itu dijangka akan bermula pada awal 2023 dan siap sepenuhnya pada 2026.
Dalam pada itu, Amirudin juga turut mempertikaikan ahli politik yang mengkritik kerajaan Selangor sebagai punca keadaan Stadium Shah Alam ketika ini.
Beliau berkata, ia adalah ibarat mengkritik diri sendiri kerana Stadium Nasional Bukit Jalil juga mengalami kerosakan.
Adakah drama Stadium Shah Alam akan berterusan lagi selepas ini dan apakah nasib Stadium Shah Alam sekiranya kerajaan negeri bertukar pada PRU-15 nanti?