Brad Maloney boleh ‘gabung’ kembali dengan Ong Kim Swee di Sabah FC

3,031

Selepas dilepaskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) daripada jawatan ketua jurulatih B-23 negara, ramai yang tertanya-tanya ke mana hala tuju Brad Maloney seterusnya.

Terdapat juga khabar angin yang mengaitkan beliau dengan Sabah FC untuk menjadi pembantu kepada ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.


Ini kerana Maloney mempunyai hubungan yang baik dengan Kim Swee kerana pernah menjadi pembantu beliau ketika bersama pasukan kebangsaan sebelum ini.

Beliau juga dilihat hadir ketika perlawanan Liga Super antara Selangor FC dan Sabah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya 28 Jun lalu.

Bercakap kepada Harimau Malaya, jurulatih yang berasal dari Australia itu tidak menolak kemungkinan akan bergabung semula dengan Kim Swee di Sabah.

Namun, beliau juga mengakui gembira untuk berehat seketika buat masa ini sebelum membuat kemunculan semula.

“Saya tidak pernah dengar khabar angin tentang Sabah tetapi memang saya dah lama berminat dengan Liga Super dan Ong Kim Swee adalah rakan baik saya, jadi siapa tahu?

Ketika ini saya juga ada menonton beberapa perlawanan Liga Super dan mengikuti karier bekas pemain saya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, beliau berharap dapat melihat pemain-pemain yang pernah dilatihnya berkembang jauh dan akan terus menyokong mereka.

Jurulatih berusia 50 tahun itu dilepaskan daripada jawatannya dua hari lalu selepas satu sesi mesyuarat bersama FAM.

Menurut FAM, keputusan itu dicapai oleh kedua-dua pihak selepas Maloney membentangkan laporan prestasi skuad B-23 negara pada Sukan SEA Vietnam Mei lalu dan Piala Asia B-23 2022 bulan lalu.

Mungkin kita akan dapat melihat kelibat Maloney buat pertama kali dalam Liga Malaysia selepas lapan tahun beliau di negara ini.