Terima kasih TMJ kerana lepaskan kami untuk main bersama skuad B-19 – Aysar Hadi

31,323

Kapten pasukan kebangsaan B-19, Aysar Hadi mengucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris kerana melepaskan beliau dan rakan sepasukan di Johor Darul Ta’zim II (JDT II) untuk menyarung jersi Harimau Muda.

Aysar berkata demikian selepas beliau berjaya membantu skuad negara menjuarai Piala AFF B-19 selepas mereka menewaskan Laos 2-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada malam tadi.


“Syukur Alhamdulillah kami berjaya cipta sejarah lagi menang Piala AFF. Pertama kali saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada TMJ kerana telah melepaskan kami pemain dari JDT II untuk bermain bersama Malaysia. Susah untuk saya ungkapkan dengan kejayaan malam ini.

Apa yang saya boleh katakan adalah kita telah membuat yang terbaik dari barisan kejurulatihan termasuklah pemain-pemain yang sangat berdisiplin dan mengikut perancangan yang telah diatur dan ia telah berhasil,”

katanya.

Susulan kejayaan tonggak utama skuad kendalian Hassan Sazali ini berjaya mengemudi bahagian tengah pasukan kebangsaan dengan baik, Aysar telah diangkat sebagai Pemain Terbaik pada perlawanan akhir.

Tambahnya lagi, kejayaan merangkul trofi Piala AFF dan dinobat sebagai pemain terbaik membuatkannya lebih bersemangat untuk jadi pemain lebih baik pada masa hadapan.

“Saya akan bekerja keras untuk bermain dengan pasukan JDT II dan negara. Ia akan menjadi titik permulaan karier bola sepak saya yang masih lagi panjang.

Bagaimanapun kejayaan yang dikecapi saya tidak akan menjadi kenyataan tanpa bantuan daripada jurulatih dan rakan sepasukan. Jadi saya harus beri kredit kepada mereka.”