Kini giliran jurulatih pula untuk naikkan semula Perak FC – Ahmad Feisal

1,048

Bekas ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Ahmad Feisal Bin Dato’ Seri Mohamed Zulkefli berkata kini tiba masa untuk ketua jurulatih Perak FC iaitu Yusri Che Lah untuk menjalankan tugasnya bagi mengembalikan kegemilangan pasukan itu.

Menurut Ahmad Feisal, pasukan Perak kini sudah pun mendapat pemilik baru dan segala masalah lalu sudah diselesaikan, malah pihak pengurusan yang baru juga telah membawa masuk tiga pemain import baru.


“Sekarang ini Perak FC tidak mempunyai masalah lagi apabila pemilik baru sudah mengambil alih, jadi kini tinggal tugas ketua jurulatih untuk menjalankan tugasnya untuk merencana yang terbaik untuk pasukan dengan pemain-pemain yang ada.

Walaupun tampak sukar untuk Perak beraksi di Piala Malaysia kerana kita perlu berada dalam Top 5, tetapi saya yakin kita boleh harungi saingan baki saingan Liga Perdana musim ini dan kekal pada musim hadapan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ahmad Feisal pada masa sama turut bersyukur apabila pemilik XOX Malaysia iaitu Dato’ Seri Abdul Azim bin Mohd Zabidi yang sanggup membantu pasukan Perak untuk keluar dari kemelut yang mungkin akan menyebabkan pasukan itu diharamkan.

Walaupun keadaan pasukan sudah terlampau ‘rosak’ akibat kemelut yang berlaku, namun kehadiran XOX pada saat-saat akhir nyata memberi sinar harapan baru buat bola sepak Perak dan penyokong.

Beliau yang mendedahkan pernah hadir dalam mesyuarat dengan ahli Lembaga Pengarah baru pasukan The Bos Gaurus itu mengakui pihak pengurusan baru mempunyai visi yang cukup bagus untuk memajukan pasukan.

“Pasukan Perak adalah satu-satunya pasukan bola sepak di Malaysia yang berusia lebih 100 tahun, jadi saya mengharapkan yang terbaik untuk pasukan Perak untuk saingan liga bola sepak tempatan dan dengan kemasukan tiga pemain import baru saya harap mereka akan kembali ke zaman kegemilangan.”

Malam ini Perak akan beraksi di halaman sendiri buat pertama kali selepas mendapat pemilik baru yang mana mereka akan menentang pasukan pendahulu Terengganu FC II.