Hassan Sazali beri fokus ke pusingan kelayakan Piala Asia B-20 terlebih dahulu, serah kepada FAM untuk tentukan masa depan

451

Ketua jurulatih pasukan B-19 negara, Hassan Sazali belum memikirkan untuk menggantikan kekosongan dalam barisan kejurulatihan skuad B-23 negara yang sebelum ini ditinggalkan oleh bekas ketua jurulatih, Brad Maloney.

“Terpulang kepada pihak FAM, saya menjalankan kewajipan saya di sini untuk membawa ke saingan kelayakan Piala Asia B-20 (AFC) pada September ini.”

katanya.

Hassan telah berjaya membawa pasukan B-19 untuk melakukan kejutan di bumi Indonesia selepas menewaskan pasukan Laos di perlawanan akhir untuk menjadi juara saingan Piala AFF B-19 tahun ini.


Beliau yang gagal menyembunyikan perasaan terharu, dilihat mengalirkan air mata kegembiraan setibanya di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama anak buahnya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang terus menyokong dan memberi ruang kepada saya.

Tidak lupa juga kepada FAM kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk membuktikan kemampuan membimbing pasukan ini.”

Jurulatih berusia 57 tahun itu turut berasa bangga selepas berjaya membalas kritikan yang diberikan kepada beliau dan skuad pilihannya sebelum ini yang dianggap kurang bersedia dari segi latihan yang tidak mencukupi.

Dalam pada itu, beliau percaya bahawa kesemua jurulatih perlu diberikan peluang secukupnya untuk membuktikan kebolehan mereka membimbing sesebuah pasukan.

“Itu yang seharusnya, semua jurulatih perlu diberi peluang terlebih dahulu untuk membuktikan kemampuan.

Saya berjaya membuktikan bahawa kita tidak ketandusan pasukan pelapis untuk kita bina dan bawa ke masa hadapan.”

Hassan selepas ini akan kembali memikul tanggungjawabnya bersama pasukan Projek FAM-MSN pada perlawanan menentang Selangor FC II dalam saingan Liga Perdana.

Pada masa yang sama, beliau akan kembali melatih pasukan B-19 negara bermula penghujung bulan Ogos sebagai persiapan ke pusingan kelayakan Piala Asia B-20 2023.  

Kejayaan ini mengulang semula pencapaian yang pernah dicapai oleh skuad negara sebelum ini selaku juara pada edisi 2018.