Permainan agresif lawan tidak memberi kesan kepada rentak kecemerlangan skuad muda negara di Piala AFF B-19

424

Kapten pasukan B-19 negara, Aysar Hadi tidak menganggap corak permainan agresif yang digunakan oleh pihak lawan seperti Laos tidak mempengaruhi rentak permainan mereka.

“Kita ada pengadil untuk kawal permainan, permainan keras daripada pihak lawan tidak akan memberi kesan kepada kami sebagai pemain.”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pemain berusia 19 tahun itu berjaya membimbing rakan sepasukannya untuk terus memberikan yang terbaik meskipun hanya diletakkan sasaran sehingga ke separuh akhir sahaja oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini.


“Kejayaan ini adalah berkat kerja keras usaha kami semua, barisan kejurulatih dan pengurusan pada setiap perlawanan.

Tiada kesukaran, kami menyesuaikan diri dengan baik di sana dan tidak menjadi masalah untuk kami bermain dengan cemerlang.”

Para pemain dilihat berjaya menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkan oleh ketua jurulatih, Hassan Sazali menerusi aksi bertenaga yang ditunjukkan pada setiap perlawanan.

Aysar yang tidak bermain untuk dua perlawanan di peringkat kumpulan kembali mendapatkan rentak kecemerlangan beliau apabila membantu pasukan negara melakukan kejutan apabila menewaskan pasukan pilihan, Vietnam 3-0 pada pusingan separuh akhir.

Kemenangan tersebut menjulang nama pemain tengah tersebut yang dilihat berjaya mengemudi barisan tengah negara untuk melakukan serangan bertali arus ke gawang lawan.

Dalam pada itu, aksi berkualiti yang ditunjukkan oleh Aysar berjaya meletakkan beliau sebagai Pemain Terbaik pada kejohanan tersebut.

“Saya tidak menjangkakan untuk menjadi pemain terbaik kejohanan tapi saya akan beri penghargaan kepada rakan pasukan yang sama-sama membantu untuk kejayaan ini.”

Momentum kecemerlangan ini akan terus ditagih apabila skuad muda negara yang akan mengharungi saingan kelayakan Piala Asia B-20 2023 yang akan berlangsung pada September ini.

“Ini adalah titik permulaan kepada kami ke pusingan kelayakan Piala Asia B-20 di Korea Selatan nanti.

Semua pemain mempunyai kelebihan masing-masing dan saya serahkan kepada jurulatih untuk menentukan.”

Aysar merupakan salah seorang pemain muda negara yang kini beraksi bersama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC II di saingan Liga Perdana.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen