Impian Syahmi Adib menentang Vietnam tercapai, buktikan pasukan negara bukan sekadar ‘makan angin’
Penjaga gol skuad B-19 negara, Syahmi Adib merasa gembira di atas persembahan cemerlang yang dipamerkan oleh beliau pada saingan Piala AFF B-19 2022 di Indonesia.
Menurut Adib, impiannya untuk bertemu dengan pasukan pilihan seperti Vietnam tercapai apabila diundi menentang Vietnam pada perlawanan separuh akhir.
Lebih manis lagi, aksi bertenaga Adib di gawang negara berjaya membawa pasukan ke perlawanan akhir selepas menewaskan lawan dengan jumlah jaringan yang selesa, 3-0.
“Perasaan saya pada perlawanan menentang Vietnam sangat gembira kerana berjaya beraksi cemerlang.
Kita berjaya mengelak dari dibolosi, semua pemain memberikan sepenuh tenaga pada perlawanan tersebut.”
Syahmi yang diletakkan selaku penjaga gol pilihan utama berjaya membalas kepercayaan ketua jurulatih, Hassan Sazali apabila berjaya mengemudi bahagian belakang negara yang hanya dibolosi lima kali sepanjang perlawanan.
Penjaga gol berusia 19 tahun itu turut berpuas hati dengan prestasi rakan sepasukan yang membantu dalam membidas kritikan yang diberikan oleh peminat yang tidak meletakkan sebarang harapan tinggi kepada pasukan ini.
“Saya yakin dengan kemampuan rakan sepasukan saya meskipun kita menggunakan corak bertahan dan kurang menyerang.
Saya rasa puas kerana berjaya membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa pasukan ini bukan sekadar pasukan pelengkap kejohanan.”
Ketangkasan Adib akan terus ditagih oleh Hassan pada aksi berikutnya di pusingan kelayakan Piala Asia B-20 yang akan berlangsung di Korea Selatan September ini.
“Buat masa ini, saya akan memberi fokus kepada kelayakan Piala Asia pada bulan September terlebih dahulu.”
Adib kini beraksi bersama pasukan Selangor FC II dalam saingan Liga Perdana.