Kritikan penyokong jadi pembakar semangat untuk buktikan kemampuan sepenuhnya – Haiqal Haqeemi
Pemain tengah muda negara, Haiqal Haqeemi menzahirkan kegembiran beliau membantu pasukan B-19 negara untuk menjuarai kejohanan Piala AFF B-19 baru-baru ini.
“Saya perasan banyak komen negatif yang diberikan oleh penyokong tapi saya jadikan perkara tersebut sebagai pembakar semangat untuk beraksi cemerlang.”
katanya kepada Harimau Malaya.
Selain berjaya membantu mengemudi bahagian tengah negara, Haiqal turut berjaya mempamerkan ketajaman di bahagian hadapan selepas berjaya menjaringkan dua gol sepanjang lima perlawanan di kejohanan ini.
”Saya berpuas hati kerana berjaya beraksi pertama kali untuk negara dan berjaya menjaringkan gol pada beberapa perlawanan atas usaha saya dan pasukan.
Kami tidak menjangkakan kejayaan ini ditambah dengan harapan yang diletakkan kepada pasukan kami oleh para peminat tetapi kami berjaya buktikan dengan menjadi juara.”
Meskipun gagal mempamerkan aksi menyakinkan pada perlawanan awal di peringkat kumpulan, pasukan muda negara dilihat berjaya mencari solusi untuk kembali mempamerkan taring pada dua aksi terakhir di pusingan kalah mati.
“Kami cuba untuk mendapatkan momentum pada perlawanan kumpulan, perlawanan separuh akhir dan akhir merupakan kemuncak prestasi kami.”
Pada masa yang sama, Haiqal yang berjaya mempamerkan aksi berkualiti sejak awal pertandingan sentiasa dikawal ketat oleh pemain pasukan lawan terutamanya Laos dan Vietnam.
“Saya cuba jauhkan diri dari lawan, elakkan dari melakukan sebarang pertembungan berisiko bertemu dengan lawan yang agresif.”
Dalam pada itu, pemain pasukan Selangor FC II ini berkata beliau akan terus meningkatkan kualiti permainannya demi mencapai matlamatnya selaku antara pemain masa depan pasukan utama Selangor.
“Saya akan berusaha dengan lebih kuat selepas ini untuk terus beraksi cemerlang.
Impian beraksi dengan pasukan utama Selangor akan menjadi matlamat utama saya di masa hadapan.”
Ketenangan Haiqal akan terus ditagih tatkala skuad negara akan berhadapan dengan ujian yang lebih getir selepas ini di saingan kelayakan Piala Asia B-20 September ini.