Omar Raiyan akan terus bersedia untuk negara, jadikan pengalaman kali ini peluang perbaiki permainan pada masa hadapan
Pemain muda yang kini beraksi di Serbia, Omar Raiyan memberitahu kesediaan beliau untuk terus beraksi bersama skuad kebangsaan sekiranya diperlukan selepas ini.
“Saya percaya bahawa saya telah bersedia sekiranya diberikan peluang oleh jurulatih selepas ini.
Pengalaman ini sangat baik untuk saya, saya sentiasa bersedia untuk mewakili Malaysia pada bila-bila masa mereka memerlukan khidmat saya.”
katanya kepada Harimau Malaya.
Omar dilihat berhadapan dengan sedikit masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkan oleh ketua jurulatih, Hassan Sazali.
Tempoh persiapan singkat yang dilakukan oleh beliau dan pasukan sebelum kejohanan sedikit sebanyak memberi kesan kepada aksi kurang memberangsangkan yang dipamerkan oleh pemain ini sepanjang kejohanan berlangsung.
Walaubagaimanapun, beliau dilihat tetap berusaha sehabis baik bagi memberikan aksi yang terbaik meskipun jarang diturunkan oleh jurulatih.
“Saya baru bersama dengan pasukan tiga hingga empat minggu sebelum kejohanan.
Sudah semestinya saya sedikit bergelut pada peringkat permulaan berada di sini, namun saya sudah berjaya memahami dan mengikuti corak permainan pemain yang lain.”
Dalam pada itu, Omar percaya pendedahan yang dimiliki oleh beliau terhadap gaya permainan bola sepak di rantau Asia Tenggara akan turut membantu usahanya untuk meningkatkan lagi kualiti permainannya di masa hadapan.
“Saya melihat corak bola sepak di Asia Tenggara sangat laju, pemain perlu sentiasa bersedia dan bagus untuk saya mendapatkan peluang ini bagi mengembangkan lagi gaya permainan saya selepas ini.
Ia merupakan pengalaman yang baik untuk saya melihat cara permainan seperti ini kerana saya banyak bermain di Eropah sebelum ini.”
Omar dijangka akan menandatangani kontrak bersama pasukan Red Star Belgrade dari Serbia pada Oktober ini selepas berusia 18 tahun ekoran daripada Artikel 19 yang digunakan oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).
Artikel tersebut menetapkan undang-undang yang hanya membenarkan pemain melebihi usia 18 tahun untuk melakukan perpindahan antarabangsa.