Keserasian sudah wujud antara pemain, kami cuma perlukan kemenangan saja – Yusri Che Lah

1,306

Ketua jurulatih pasukan Perak FC, Yusri Che Lah menegaskan bahawa pemain-pemainnya sudah serasi bersama cuma nasib belum menyebelahi mereka lagi apabila mereka gagal meraih tiga mata pada perlawanan menentang Terengganu FC II malam tadi.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Ipoh, pemain Perak mempamerkan aksi yang cukup bertenaga apabila mendominasi hampir keseluruhan permainan tetapi buntu mencari jaringan.


“Jika hendak cakap keserasian, ia telah wujud cuma bila tak menang ni muncul pelbagai spekulasi seperti pemain import lah, tak serasi lah.

Apa yang saya boleh cakap adalah kekalahan pada PDRM masih menghantui pemain saya dan pada malam ini mereka beraksi berhati-hati dalam mencari penyudah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Yusri mengakui beliau sangat memahami yang penyokong mahukan keputusan positif kerana beliau juga berasa seperti itu juga.

Oleh itu, beliau mahu pemain-pemainnya bekerja dengan lebih keras lagi untuk mencari kemenangan dalam baki enam perlawanan saingan Liga Perdana nanti.

“Saya bertanggungjawab atas keputusan dan saya rasa satu mata pada malam ini sangat berharga, kita ada lagi enam perlawanan dan sesungguhnya perlawanan-perlawanan akan datang lebih mencabar jadi saya pasti pemain akan berjuang untuk mencari kemenangan.”

Dalam pada itu, pengendali dari Perlis itu enggan mengulas lanjut mengenai corak permainan Terengganu II yang dilihat seperti melambat-lambatkan masa permainan.

Beliau berkata setiap pasukan mempunyai taktikal mereka tersendiri, jadi beliau tidak boleh komen dengan lanjut mengenai perkara itu.

“Ia bukan satu isu bagi saya kerana mungkin kita akan menggunakan pendekatan yang sama jika kita berada di tempat mereka. Pemain saya ada banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi mereka yang gagal menyempurnakannya.”

Sementara itu, Yusri gembira apabila melihat peminat The Bos Gaurus kembali membanjiri stadium untuk menyaksikan pasukan mereka beraksi kerana baginya kehadiran peminat membakar semangat pemain-pemainnya untuk beraksi dengan lebih baik.

“Apa yang saya boleh kata, tanpa sokongan peminat pada malam ini, pemain saya tidak akan beraksi seperti mana mereka beraksi pada malam ini.”

Beliau turut mengambil kesempatan memohon maaf kepada seluruh peminat Perak yang tidak berpuas hati kerana tidak mendapat keputusan positif, beliau mengakui tidak dapat memuaskan hati semua pihak tetapi beliau sangat tagih sokongan padu daripada peminat kerana satu hari nanti pasti mereka akan mengecapi kejayaan.