Badrul Afzan akui ada baik dan buruk apabila Jordan Mintah tidak bersama Terengganu FC II

364

Ketua jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Badrul Afzan Razali mengakui ketiadaan penjaring terbanyak pasukan itu iaitu Jordan Mintah mempunyai baik dan buruknya.

Menurut Badrul, ketiadaan Mintah dalam pasukan TFC II apabila dipinjamkan kepada KL City FC membuatkan pasukannya buntu untuk menjaringkan gol.


“Bagi saya ada baik dan buruknya. Baiknnya, pemain penyerang tempatan dapat peluang untuk turun beraksi, buruknya kita tidak dapat mengekalkan prestasi untuk menjaringkan gol,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada perlawanan menentang Perak FC malam tadi, TFC II gagal menjaringkan gol apabila mereka terikat 0-0 di Stadium Ipoh.

Badrul memahami dengan situasi yang berlaku, tetapi beliau tetap percaya dengan pemain-pemain tempatan yang ada dalam pasukan.

Walaupun hanya berjaya membawa pulang satu mata, namun beliau gembira apabila percaturannya untuk membawa pulang satu mata tercapai.

“Memang percaturan taktikal permainan kami malam ini adalah bermain secara bertahan kerana kita tahu malam ini adalah perlawanan pertama di tempat Perak selepas pengurusan bertukar tangan. Tahniah kepada pemain saya kerana berjaya menyerap tekanan bukan sahaja daripada penyokong lawan tetapi juga asakan pemain lawan.

Kita tahu pada perlawanan malam amat sukar kerana Perak dibarisi oleh ramai pemain berpengalaman. Jika pada pusingan pertama kita berjaya menang muda 3-0, tapi malam ini dengan barisan pemain berpengalaman Perak, kami hanya mampu seri saja.”

Dalam pada itu, Badrul berkata walaupun mereka berada di kedudukan teratas Liga Perdana, tetapi mereka tidak akan mengambil mudah dalam setiap perlawanan.

Selepas ini TFC II akan menentang PDRM FC pada 26 Julai ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.