Fokus saya ketika adalah untuk bina semula pasukan Perak FC – Bobie Farid

1,849

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sementara Perak FC, Bobie Farid Shamsudin memberitahu fokusnya ketika ini adalah untuk membina semula pasukan yang kini masih bergelut untuk mempamerkan prestasi terbaik.

“Nak naik Liga Super ke, nak turun ke tiada dalam kepala otak saya, fokus saya ketika ini adalah untuk bina semula pasukan Perak FC,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Bobie Farid, perkara pertama yang dilakukannya apabila dilantik menjadi CEO sementara adalah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pasukan The Bos Gaurus ketika itu iaitu menyelesaikan isu tunggakan gaji.


Usaha yang dilakukan membuahkan hasil apabila mereka berjaya melangsaikan segala tunggakan dan larangan pendaftaran pemain baru oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah diangkat semula.

Malah pemotongan sembilan mata oleh First Instance Body (FIB) juga sudah ‘dibayar’ menerusi tiga kemenangan pasukan kendalian Yusri Che Lah sebelum ini.

Dalam pada itu, Bobie Farid yang juga merupakan CEO One XOX Sdn Bhd dan Prinsipal Pasukan The Komanz Kru Racing (TKKR) berkata tahap profesional dalam menguruskan pasukan bola sepak Perak masih banyak perlu diperbaiki.

“Perbezaan dalam menguruskan pasukan lumba motor adalah tahap profesional pengurusan yang lebih tinggi berbanding bola sepak.

Bola sepak saya boleh katakan banyak benda perlu diperbaiki untuk kita bergelar pasukan profesional.”

Untuk menjadikan pasukan bola sepak sebuah pasukan profesional, beliau telah melakukan banyak kerja ‘pembersihan’ yang mana rombakan dari menyeluruh dari segi pengurusan dan pemain dibuat bagi memastikan mereka mencapai objektif yang dimahukan.

Sementara itu, beliau nyata gembira apabila melihat ribuan penyokong hadir ke Stadium Ipoh semalam menyaksikan perlawanan Perak menentang Terengganu FC II yang mana ia berkesudahan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Bobie Farid berharap agar penyokong akan terus memberi sokongan padu kepada pasukan.

“Asas utama dalam bola sepak adalah peminat. Saya harap peminat Perak akan terus sokong kami.”