Kalau tiada tekanan, anda tidak akan berjaya – Koo Kien Keat
Bekas jaguh beregu negara, Koo Kien Keat mengakui tekanan daripada pelbagai pihak seperti pengurusan, jurulatih dan peminat adalah perkara biasa bagi seorang pemain badminton.
“Tekanan daripada pelbagai pihak adalah perkara biasa kerana paling penting adalah diri sendiri dapat mengatasi semuanya.
Bagi saya walau dalam apa-apa kerjaya pun kalau tiada tekanan, anda tidak akan berjaya,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Kien Keat berkata demikian selepas ditanya adakah tekanan bermain di tempat sendiri menjadi punca pemain negara tidak dapat beraksi dengan baik dalam dua kejohanan Terbuka Malaysia dan Malaysia Masters baru-baru ini.
Beliau pada sama turut mengakui kekuatan mental pemain muda ketika ini tidak sekental seperti pemain dahulu kerana mereka tiada perasaan ‘do or die’ berikutan mereka kini mempunyai banyak pilihan berbanding zamannya.
“Dari segi mental memang saya lihat ada sedikit perbezaan, mungkin masa zaman kita dulu kita tak ada pilihan ‘kalau kita keluar BAM (Persatuan Badminton Malaysia) kita nak pergi mana’, tapi sekarang ni pilihannya banyak.
Mungkin pemain itu rasa senang kerana tak perlu lalui pelbagai rintangan macam ‘do or die’. Kita pernah lalui itu dari kecil hingga besar.”
Dalam pada itu, pemenang lima pingat emas di Sukan Komanwel ini berkata pemain muda negara ketika ini memang mempunyai kualiti, tetapi mereka masih lagi belum mendapat kunci kemenangan.
“Saya sudah melihat mereka beraksi di depan mata sendiri dan saya rasa mereka ada potensi cuma nak cari kunci kemenangan. Mereka perlu cari itu sahaja kerana kualiti sudah ada.”
Sementara itu, pemain berusia 36 tahun seronok berkata beliau sangat gembira dengan perkembangan peminat badminton ketika ini yang semakin ramai dari kalangan orang muda.
Malah peminat ketika ini juga kurang mengkritik sebaliknya terus memberi sokongan padu buat pemain walaupun prestasi pemain itu tidak berapa bagus.
“Bagi saya peminat sekarang ini sangat bagus kerana orang yang tengok badminton sekarang ini adalah orang muda dan orang ikut media sosial. Peminat dulu sering mengkritik kerana mereka ingat mereka sudah mengikuti badminton 10 tahun mereka sudah tahu badminton. Kritik itu lebih banyak dari sekarang.
Sekarang ini saya tengok walaupun kalah, sokongan itu tetap ada jadi saya harap perkara ini akan berterusan.”