Nafuzi Zain atau Kim Hak-bum layak dilantik sebagai ketua jurulatih B-23 baru?

3,079

Selepas lapan tahun bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), ketua jurulatih skuad B-23 negara Brad Maloney telah dilepaskan atas persetujuan bersama.

Keputusan itu dibuat selepas kegagalan skuad kendalian Maloney dalam tiga kejohanan besar pada tahun ini iaitu Piala AFF B-23, Sukan SEA Hanoi dan Piala Asia B-23 baru-baru ini.


Susulan itu, kini timbul persoalan dan spekulasi iaitu siapakah yang layak untuk menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh jurulatih dari Australia itu.

Ada yang mencadangkan agar ketua jurulatih skuad utama Harimau Malaya iaitu Kim Pan-gon mengendalikan pasukan B-23 selepas kejayaan jurulatih dari Korea Selatan itu membawa Malaysia layak ke Piala Asia 2023 secara merit.

Cadangan untuk menggunakan khidmat Pan-gon untuk melatih skuad B-23 juga adalah untuk menerapkan corak permainan sama dengan skuad utama supaya pemain-pemain ini tidak akan berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan skuad senior jika mereka mendapat panggilan.

Selain Pan-gon, ada juga yang mencadangkan penolong ketua jurulatihnya iaitu Pau Marti Vicente dari Sepanyol kerana beliau adalah individu yang paling sesuai berikutan membawa falsafah yang sama dengan Pan-gon.

Namun perkara itu tampak tidak akan menjadi kenyataan kerana Pan-gon sudah semestinya tidak akan melepaskan Pau Marti kerana beliau individu penting yang membantunya merencana strategi terbaik untuk skuad senior.

Kini ramai yang membuat spekulasi mengenai beberapa nama yang mampu menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih B-23 negara, tetapi berdasarkan falsafah dan corak permainan Pan-gon, terdapat dua nama jurulatih yang boleh dipertimbangkan.

Nafuzi Zain

Sumber foto: TFC FB

Ini bukanlah kali pertama nama ketua jurulatih Terengganu FC ini menjadi sebutan kerana sebelum ini nama beliau juga pernah dikaitkan untuk jawatan penolong ketua jurulatih tempatan apabila ketua jurulatih Harimau Malaya yang baru Kim Pan-gon mahu khidmat seorang penolong ketua jurulatih tempatan, bagaimanapun jawatan itu telah diisi oleh E. Elavarasan.

Nafuzi merupakan antara ketua jurulatih muda yang paling berjaya apabila beliau menjadi pencetus kepada revolusi bola sepak Terengganu apabila mempamerkan corak permainan yang cantik yang kemudian mendapat gelaran sebagai ‘Nafuzi Ball’, ternyata berjaya membuatkan peminat bola sepak tanah air terutamanya peminat Terengganu kagum dengan kemampuan beliau.

Jurulatih berusia 43 tahun ini juga sangat terkenal melahirkan ramai pemain-pemain muda berkualiti. Ramai pemain muda yang diperkenalkan oleh Nafuzi berjaya mendapat panggilan skuad kebangsaan antaranya Faisal Halim, Hakimi Abdullah, Nik Akif Syahiran dan ramai lagi.

Oleh itu, Nafuzi boleh dikatakan antara calon yang paling sesuai untuk menggalas jawatan tersebut kerana beliau sendiri sudah bersedia sekiranya mendapat peluang kerana baginya setiap jurulatih pasti memasang impian untuk membimbing pasukan kebangsaan.

Rasanya pengurusan tertinggi Terengganu juga tidak akan keberatan untuk melepaskan Nafuzi untuk tugasan negara kerana ia akan menjadi satu kebangsaan buat mereka apabila terbukti mereka mempunyai jurulatih berkualiti.

Jika Nafuzi benar-benar dilantik sebagai pengendali baru skuad B-23 negara, peminat Terengganu tidak perlu bimbang kerana mempunyai pengganti yang cukup berkaliber iaitu Tomislav Steinbruckner yang merupakan Pengarah Teknikal skuad Sang Penyu ketika ini.

Atau mereka juga boleh menggunakan khidmat ketua jurulatih Terengganu FC II iaitu Badrul Afzan kerana beliau juga mempunyai falsafah dan corak permainan yang sama dengan skuad utama, jadi ia tidak menjadi masalah untuk beliau diangkat sebagai pengganti Nafuzi.

Kim Hak-bum

Sumber foto: AFC

Satu lagi nama yang sebelum ini pernah disebut-sebut ketika FAM dilaporkan sedang mencari ketua jurulatih baru untuk skuad utama negara iaitu Kim Hak-bum yang dilihat mempunyai potensi besar untuk mengendalikan skuad negara ketika itu.

Bagaimanapun FAM kemudian telah membuat keputusan untuk melantik Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih, namun kini memandangkan jawatan untuk skuad B-23 kosong, nama Hak-bum kembali menjadi sebutan sebagai calon paling sesuai.

Hak-bum merupakan seorang jurulatih yang cukup tegas dan mempunyai pengalaman luas terutamanya dalam melatih pemain-pemain muda, malah beliau merupakan bekas ketua jurulatih skuad B-23 Korea Selatan.

Sepanjang tiga tahun beliau mengendalikan skuad B-23 Korea Selatan, beliau telah berjaya membawa pasukan itu menang pingat di Sukan Asia 2018 dan Piala Asia B-23 2020.

Hak-bum mempunyai kepakaran untuk menggilap pemain muda selain menerapkan disiplin dalam kalangan pemain berikutan beliau sangat terkenal dengan sikap yang cukup tegas. Malah, ketua jurulatih pasukan kebangsaan Indonesia iaitu Shin Tae-yong juga pernah berada di bawah pimpinan beliau.

Apa yang membuatkan beliau calon paling sesuai adalah falsafah dan corak permainan yang hampir sama berikutan kedua-dua Hak-bum dan Pan-gon berasal dari Korea Selatan, oleh itu tiada masalah dari segi komunikasi antara beliau dan ketua jurulatih skuad senior.

Kedua-dua mereka juga boleh membuat perancangan teliti untuk pembangunan bola sepak negara kerana kita sedia maklum bahawa Korea Selatan mempunyai pembangunan bola sepak yang terbaik di rantau Asia ini.

Dengan pendekatan yang selari antara kedua-dua jurulatih ini, ia pasti akan memudahkan transisi pemain-pemain skuad B-23 untuk naik ke skuad senior.

Jadi antara Nafuzi Zain dan Kim Hak-bum, siapakah yang layak untuk membimbing skuad B-23?