Kualiti anak saya meningkat dengan ketara sejak bermain di Sepanyol – Bapa Allee Putra

16,843

Jika ditanya impian setiap pemain bola sepak di dunia ini, sudah tentu ingin bermain di kelab-kelab besar di Eropah.

Tidak dapat dinafikan bahawa Eropah boleh dikatakan sebagai ‘kiblat’ bagi pemain bola sepak dan dari segi pembangunan akar umbi juga ia adalah destinasi terbaik buat pemain-pemain muda.


Bagi Azril Zawawi, bapa kepada pemain muda negara yang bermain untuk Akademi Malaga City di Sepanyol, Allee Putra berkata, beliau dapat melihat peningkatan dari segi mobiliti, intensiti, teknikal dan lain-lain aspek sejak anaknya bermain di Sepanyol.

Beliau juga mengakui dapat melihat anaknya mampu membaca permainan dengan lebih baik sejak mula berada di sana pada 2020.

“Saya lihat Allee punya langkah ni tiga ke belakang dan tiga ke hadapan tetapi bola sepak di Malaysia ni satu langkah ke belakang dan satu ke depan.

Maksudnya pemain di sini dah dapat bola baru nak fikir langkah seterusnya tetapi pemain di sana mereka sudah tahu mereka akan terima bola sebelum tiga atau empat pemain lebih awal dan mereka sudah tahu langkah seterusnya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Azril berharap Allee akan menjadi contoh terbaik kepada pembangunan bola sepak negara dan menjadi idola kepada golongan muda satu hari nanti.

Beliau juga berharap anaknya akan dapat menyarung jersi Harimau Malaya dan membanggakan negara di persada antarabangsa.

“Memang sebagai seorang bapa saya bayangkan beliau dapat mewakili Malaysia satu hari nanti.

Saya harap FAM akan panggil Allee supaya beliau dapat membantu negara tetapi jika ada pemain yang lebih bagus daripada beliau tidak mengapa.”

Dalam pada itu, Azril berkata, beliau sering menekankan beberapa perkara yang menjadi nasihat buat anaknya.

Menurutnya, bukan sahaja anaknya malah mana-mana atlet pun harus mementingkan agama, menjaga maruah diri dan negara, berusaha bersungguh-sungguh dan konsisten serta tidak sesekali membelakangkan ibu bapa dan keluarga.

Baginya, kesemua perkara itu adalah kunci penting buat seseorang bukan sahaja untuk berjaya dalam sukan tetapi juga dalam bidang lain.