Susah Kelantan FC nak juara kalau main macam lawan UiTM FC – Ismail Ibrahim

4,198

Ketua jurulatih UiTM FC, Ismail Ibrahim merasakan sukar buat Kelantan FC untuk bergelar juara Liga Perdana sekiranya terus menampilkan permainan sama ketika menentang pasukannya hari ini.

Perlawanan yang berlangsung pada petang tadi di Stadium Sultan Muhammed IV tadi telah menyaksikan UiTM tewas 1-0.


Menurut Ismail, beliau terkejut melihat Kelantan bermain hantaran jauh menentang pasukannya dan memuji barisan pemainnya kerana berjaya mengekang asakan lawan.

“Pada pandangan saya perlawanan petang ini seimbang dan kita lihat Kelantan pun sukar untuk jaringkan gol walau bermain dengan empat pemain import.

Dulu masa main lawan kami mereka berjaya pegang bola tetapi hari ni mereka hanya main ‘long ball’, kalau main macam ni susah mereka nak juara,”

katanya.

Ismail berkata, beliau bangga dengan semangat yang ditunjukkan anak buahnya walaupun turun tanpa beberapa pemain utama yang tidak sihat.

Dalam pada itu, beliau memberitahu pemain yang dipinjam dari Selangor II, George Attram mungkin tidak akan beraksi dalam saingan liga musim ini selepas doktor mengesahkan beliau memerlukan sehingga lapan minggu untuk pulih.

Beliau bagaimanapun tidak bimbang kerana percaya anak buahnya telah menunjukkan peningkatan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Saya lihat para pemain semakin yakin untuk memegang bola dan tahun depan jika ada pemain import mungkin kami akan jadi pasukan yang lebih baik.”

Sementara itu, beliau kini meletak sasaran pasukannya untuk layak ke Piala Malaysia musim ini.

Pada perlawanan seterusnya, UiTM akan bertemu dengan Johor Darul Ta’zim II di Stadium Larkin pada 26 Julai.