Zafri Zakaria pasang impian bawa UiTM FC layak ke Piala Malaysia

667

Pertahanan muda UiTM FC, Zafri Zakaria meletakkan sasaran untuk layak ke Piala Malaysia sebagai matlamat utama beliau pada saingan musim ini.

“Harapan pada perlawanan menentang JDT II selepas ini adalah untuk kami beraksi dengan lebih baik untuk layak ke Piala Malaysia,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pemain yang dipinjamkan daripada pasukan Terengganu FC II itu berjaya menjadi antara watak utama pasukan meskipun tewas pada perlawanan menentang Kelantan FC petang tadi.


Zafri yang kurang mendapat minit permainan bersama skuad Sang Penyu percaya terdapat beberapa aspek daripada corak permainan beliau yang perlu segera dipertingkatkan.

“Perasaan saya hari ini lebih kepada ingin memperbaiki corak permainan, saya rasa lebih banyak yang perlu ditingkatkan.”

Beliau yang baru dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua musim ini tidak menunggu lama untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih, Ismail Ibrahim apabila berjaya mencatat hatrik pada perlawanan pertama beliau bersama pasukan The Lions untuk menewaskan kelab asalnya, Terengganu FC II.

Pada masa yang sama, Zafri dijangka akan terus diletakkan sebagai pilihan utama pasukan UiTM bagi mengharungi baki empat perlawanan liga selepas ini.

“Saya memang memasang niat untuk mencari minit permainan, minit permainan yang lebih banyak akan membantu saya untuk mendapatkan pendedahan yang lebih banyak.

Tidak mustahil untuk saya kembali merebut tempat bersama pasukan Terengganu.”

Walaupun tewas, Zafri tidak menganggap waktu permainan di sebelah petang memberi impak yang besar kepada persembahan pasukannya tatkala mereka sudah melakukan persiapan yang lebih rapi sebelum perlawanan ini berlangsung.

“Kami sudah mula untuk biasakan diri dengan jadual perlawanan di waktu petang menerusi waktu latihan yang lebih awal jadi perkara ini tidak menjadi masalah yang besar.”

Zafri perlu segera bangkit dari kekecewaan kerana selepas ini mereka akan berhadapan dengan lawan yang lebih kuat seperti Johor Darul Ta’zim FC II (JDT II) dan Kuching City FC.

Pasukan UiTM perlu mendapatkan kemenangan pada baki saingan musim ini untuk memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Perdana.

Tamat perlawanan, UiTM kini berada di kedudukan ketujuh liga di selepas berjaya mengumpul 15 mata daripada 11 perlawanan.