Rezal Zambery mahu wujudkan semula semangat ‘This is Kota Bharu’ di Stadium Sultan Muhammad IV
Ketua jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya berazam mahu mewujudkan kembali semangat ‘This is Kota Bharu’ yang sinonim dengan kelab itu selepas beraksi semula di Stadium Sultan Muhammad IV.
Menurut Rezal, beliau mahu para pemain menerapkan semangat itu dalam diri mereka supaya setiap pasukan yang hadir ke Kota Bharu akan berdepan kesukaran menentang mereka.
“Benda ni boleh berlaku kalau dengan tambahan sorakan daripada penyokong, ia akan beri satu semangat lain terhadap pemain.
Bola sepak di Kelantan ini boleh dikatakan sebagai medan penyatuan rakyat dan ini yang saya cuba terapkan kepada pemain,”
katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada para penonton yang hadir pada perlawanan ‘home’ pertama Kelantan musim ini walaupun cuaca panas dan berlangsung ketika hari bekerja.
Rezal berkata, Kelantan kini sedang menyasarkan untuk menjadi juara namun mahu fokus satu demi satu perlawanan kerana tidak mahu pemain leka.
Dalam pada itu, beliau berharap dapat menewaskan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada perlawanan seterusnya bagi mencerahkan peluang mereka untuk bergelar juara.
“Sasaran kita adalah tiga mata menentang mereka supaya kita mempunyai kelebihan dalam persaingan liga.
Saya harap lebih ramai penyokong akan hadir ketika perlawanan itu memandangkan ia berlangsung ketika hari cuti.”
Pada perlawanan menentang UiTM FC petang tadi, Kelantan berjaya membawa pulang tiga mata penuh menerusi jaringan Syed Sobri pada minit ke-77.
Kelantan kini memimpin carta Liga Perdana dengan 25 mata diikuti Terengganu FC II dan JDT II, masing-masing dengan 23 dan 21 mata.