Kerajaan harus ambil inisiatif sediakan litar di setiap negeri untuk kurangkan gejala rempit – Ron Hogg
Figura terkenal dalam dunia permotoran Cub Prix Malaysia, Ron Hogg menggesa kerajaan mengambil tindakan segera untuk membendung gejala mat rempit di kalangan remaja ketika ini yang dilihat menjadi semakin serius.
Ia susulan satu insiden maut yang membabitkan sekumpulan remaja yang berlumba di jalanraya baru-baru ini telah menyebabkan empat maut dan ramai lagi cedera akibat kemalangan.
Berikutan itu, Ron yang juga merupakan Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd mencadangkan agar setiap negeri mempunyai fasiliti litar untuk golongan remaja yang mempunyai minat dalam dunia permotoran.
“Kerajaan perlu ambil inisiatif untuk mewujudkan satu litar di setiap negeri. Litar yang saya cakap ini tidak perlu besar seperti Litar Antarabangsa Sepang (SIC), tetapi litar yang kecil seperti yang ada di Tangkak, Johor, Terengganu dan beberapa lagi.
Jika ini dapat dibuat, kita akan dapat mengurangkan gejala yang berlaku pada hari ini,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Ron mengakui bukan mudah untuk mengubah budaya yang sudah lama ‘melekat’ pada golongan ini, tetapi dengan adanya fasiliti litar ini sedikit sebanyak akan menjadi proses pembelajaran kepada golongan remaja atau mereka yang terlibat dalam aktiviti rempit.
Tambahnya lagi, ketika ini banyak pihak hanya bercakap sahaja, namun tiada tindakan proaktif yang diambil bagi membendung gejala ini.
“Sudah 20 tahun banyak pihak yang cakap nak ambil tindakan sebagainya, tetapi sehingga kini tiada apa yang berlaku.”
Dalam pada itu, Ron juga mendedahkan bahawa sejak litar permotoran diwujudkan di Terengganu, pihak polis di sana mengakui bahawa gejala rempit di negeri itu semakin berkurangan, dan ini membuktikan keberkesanan inisiatif tersebut.
Beliau bagaimanapun berkata jika litar itu diwujudkan, pihak berwajib juga perlu melakukan kempen proaktif untuk mengajak golongan remaja ini untuk menggunakan litar yang disediakan dan bukannya sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’ sahaja.
Tambahnya lagi, sukan permotoran adalah sebuah industri besar besar yang mana jika ia disertai oleh ramai orang tidak mustahil satu hari nanti Malaysia dapat melahirkan juara dunia permotoran.
“Kita boleh bawa sukan ini ke peringkat yang lebih tinggi tetapi jika tiada fasiliti yang disediakan, lagi 10 tahun kita akan membincangkan perkara yang sama.”
Sementara, Ron berkata pihaknya kini sedang giat membuat beberapa program tambahan untuk mendapatkan lebih ramai bakat-bakat muda ini untuk terbabit dalam sukan permotoran.