Ramai yang setuju Indonesia bida jadi tuan rumah Piala Asia 2023

2,001

Selepas beberapa minggu menjadi perbualan ramai mengenai siapa yang akan jadi tuan rumah untuk Piala Asia 2023, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akhirnya telah mengumumkan bahawa empat negara telah membuat bidaan.

Empat negara tersebut adalah Indonesia, Korea Selatan, Qatar dan Australia telah membida untuk menjadi tuan rumah untuk saingan Piala Asia 2023 selepas China menarik diri sebagai tuan rumah berikutan pandemik COVID-19 yang masih berleluasa di negara itu.


Susulan empat negara yang membida, AFC kini akan membuat penilaian dalam pelbagai aspek dalam memilih negara yang layak untuk dipilih sebagai tuan rumah dan keputusan negara mana yang berjaya akan diumumkan pada 17 Oktober ini.

Berdasarkan negara yang membida, terdapat dua negara yang dilihat mempunyai potensi besar untuk dipilih sebagai tuan rumah iaitu Qatar dan Indonesia berikutan kedua-dua negara ini sudah bersedia untuk menganjurkan kejohanan bola sepak besar.

Qatar mempunyai fasiliti berkelas dunia kerana pada bulan November mereka akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022.

Bagaimanapun disebalik kesediaan negara Timur Tengah untuk menjadi tuan rumah bersama Korea Selatan dan Australia, namun kos yang tinggi mungkin akan menjadi faktor yang akan dipertimbangkan oleh AFC.

Indonesia adalah pilihan untuk untuk menganjurkan kejohanan Piala Asia 2023 kerana mereka juga mempunyai fasiliti terbaik kerana mereka akan menjadi tuan rumah Piala Dunia B-20 pada tahun hadapan.

Oleh itu, soal fasiliti dan stadium sudah tidak lagi menjadi persoalan kerana mereka telah buktikan kemampuan untuk menganjurkan kejohanan besar seperti Piala AFF B-19 baru-baru ini dan bakal jadi tuan rumah untuk kejohanan Piala AFF B-16.

Malah, Indonesia kini mempunyai sebuah stadium bola sepak moden dan canggih yang baru sahaja siap dikenali sebagai Stadion Internasional Jakarta (SIJ).

AFC pasti akan mengambil kira kos penganjuran juga yang mana jika ia dianjurkan di Indonesia, sudah pasti kos akan menjadi lebih rendah, tambahan pula mudah untuk AFC membuat koordinasi berikutan ibu pejabat AFC terletak di negara jiran, Malaysia.

Kali terakhir Indonesia menjadi tuan rumah adalah pada edisi 2007 bersama-sama Malaysia, Thailand dan Vietnam.

Dalam pada itu, rata-rata penyokong Malaysia turut menyokong penuh tindakan Indonesia membida sebagai tuan rumah kerana merasakan negara itu membawa tuah buat skuad Harimau Malaya.

Ini kerana pasukan kebangsaan mempunyai sejarah panjang yang manis apabila beraksi di Indonesia sejak lebih sedekad yang lalu.

Pada tahun 2010, skuad negara berjaya merangkul kejuaraan Piala AFF, menang pingat emas di Sukan SEA 2011, menang Piala AFF B-19 pada tahun 2018 dan terbaru menang Piala AFF B-19.

Rentetan kejayaan itu, ramai yang bersetuju dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak membida sebagai tuan rumah kerana merasakan skuad negara lebih bertuah di negara jiran.

Ekor Harimau Malaya juga tidak keberatan untuk ke Indonesia bagi menyokong pasukan kebangsaan kerana kos perjalanan juga tidak tinggi berbanding tiga negara lain.

Jadi adakah Indonesia akan dipilih sebagai tuan rumah Piala Asia 2023?