Penambahan pasukan Liga Super akan beri lebih minit permainan kepada pemain, bantu tingkatkan kualiti keseluruhan – COO Real Chukai FC

986

Ketua Pegawai Operasi Real Chukai FC, Mohammad Fadhil berpendapat positif terhadap usul untuk berlakunya penambahan bilangan pasukan yang akan bertanding di Liga Super.

Beliau melihat perkara ini sebagai salah satu inisiatif terbaik yang mampu membantu menjulang prestasi para pemain tempatan yang akan beraksi di Liga Malaysia selepas ini.


“Dari satu aspek, pemain akan mendapat minit permainan yang banyak sekiranya jumlah pasukan bertanding bertambah.

Perkara ini akan meningkatkan lagi kualiti pemain dan ia akan menjadi faktor yang bagus tetapi pada masa yang sama, kelab perlu menambah perbelanjaan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

“Untuk menjayakan perkara ini, kesemua kelab di Malaysia perlu melakukan pertimbangan sewajarnya terhadap kemampuan kewangan pasukan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang keputusan.

Pada masa yang sama, pihak pengurusan kelab perlu bijak memanfaatkan peluang yang terhidang untuk mendapatkan pulangan berlipat kali ganda terhadap dana yang telah dilaburkan,” tambahnya.

Buat masa ini, Liga M3 hanya disertai oleh 20 pasukan yang telah dibahagikan kepada dua kumpulan.

Real Chukai merupakan antara kelab amatur yang memperlihatkan kemajuan yang cukup baik dari segi pengurusan kewangan pasukan.

“Berbelanja mengikut kemampuan poket sendiri serta berpegang pada prinsip sebagai sebuah kelab pembangunan merupakan antara panduan utama yang kami gunakan sehingga ke hari ini,” kata Fadhil.

Terdahulu, pihak pengurusan pasukan dari daerah Kemaman ini dari awal musim tidak meletakkan sebarang harapan yang tinggi tatkala mereka baru pertama kali beraksi di Liga M3.

Sebagai sebuah kelab yang berteraskan kepada pembangunan akar umbi bola sepak, penyertaan Real Chukai di liga divisyen ketiga tersebut bertujuan untuk memberi lebih pendedahan kepada pemain bagi mempertingkatkan kualiti permainan masing-masing.

“Kami mempunyai baki tiga perlawanan di tempat lawan, kami tetap dengan matlamat kami untuk sekadar mencari pendedahan dari segi pengurusan pemain terlebih dahulu untuk musim pertama ini.

Pengurusan logistik pemain merupakan salah satu tugas yang berat jadi ini merupakan satu pengalaman yang baru untuk kami.”

Tambahan pula, Real Chukai kini berada di tangga kelapan saingan Kumpulan B dilihat sedikit bergelut untuk mencapai kemenangan selepas 15 perlawanan.

Baki saingan yang akan diadakan selepas ini akan menjadi penentu masa depan pasukan ini yang memasang harapan untuk tetap berada di dalam liga ini pada musim yang akan datang.

“Kami bergantung sepenuhnya pada tiga perlawanan terakhir tetapi kami serahkan sepenuhnya kepada jurulatih dan pemain untuk buktikan kemampuan.”

Prinsip realistik yang dipegang oleh pihak pengurusan Real Chukai perlu dipuji kerana mereka memahami sepenuhnya konsep sebagai sebuah kelab pembangunan yang perlu memperkuatkan asas terlebih dahulu sebelum mengimpikan sebarang kejuaraan di pentas yang besar.

Sementara itu, Real Chukai semakin mengorak langkah ke hadapan melalui pengenalan akademi bola sepak yang telah berjaya menarik lebih kurang 160 orang pelatih.

Dengan jumlah yang besar, sesi latihan untuk akademi ini telah dipecahkan kepada dua sesi iaitu pada sebelah pagi dan sebelah petang.

Pihak kelab telah mempunyai pelan jangka masa panjang terhadap masa depan pelatih yang berdaftar di bawah kendalian pasukan ini.

“Pemain terbaik akan diberi tawaran untuk naik ke pasukan utama, susun atur perjalanan mereka sudah dirangka buat masa sekarang.” kata Fadhil.

Setakat ini, Real Chukai dibarisi sepenuhnya oleh pemain tempatan yang berasal dari kawasan sekitar daerah Kemaman.