Pasukan Liga M3 berpeluang naik ke Liga Super musim depan jika mereka menepati kriteria yang ditetapkan oleh MFL

4,913

Pasukan amatur yang bersaing dalam saingan Liga M3 berpeluang untuk naik ke Liga Super 2023 selepas Malaysian Football League (MFL) mengumumkan rombakan saingan Liga Malaysia pada musim hadapan.

Struktur baru Liga Malaysia pada musim baru akan menyaksikan saingan Liga Perdana ditangguhkan buat sementara waktu dan pasukan yang bersaing dalam Liga Super ditambah dari 12 kepada 18 pasukan.


Sebanyak enam pasukan akan dinaikkan ke Liga Super yang mana ia membabitkan empat pasukan dari Liga Perdana naik secara automatik dan dua pasukan tercorot Liga Perdana bermain play-off menentang dua pasukan teratas Liga M3 bagi merebut slot ke Liga Super.

Bagaimanapun, sekiranya pasukan dari Liga M3 ini menang pusingan play-off  dan layak ke Liga Super, pasukan yang layak perlu memastikan mereka menepati kriteria asas MFL sebelum dibenarkan beraksi dalam liga utama.

“Selain daripada mereka layak, ada perlesenan yang mereka perlu lalui. Perlesenan ini basic saja dan bukannya seperti pasukan di Liga Super yang begitu detailed dengan syarat-syaratnya.

Tapi di peringkat AFL (Amatuer Football League) dari segi asas mereka perlu ada seperti kewangan, stadium, persiapan dan struktur pengurusan,”

kata Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan kepada Harimau Malaya.

Ab Ghani bagaimanapun berkata sekiranya pasukan tersebut tidak dapat menepati kriteria tersebut, pihak MFL akan membawa perkara itu kepada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah untuk menentukan nasib pasukan tersebut.

Sumber foto: MFL

Tambahnya lagi, beliau juga sudah berbincang dengan Pengerusi AFL sendiri iaitu Datuk Wira Mohd Yusoff bin Haji Mahadi bagi menjelaskan perkara yang akan dilakukan oleh MFL.

Rombakan Liga Malaysia bukan sahaja membabitkan penambahan pasukan dalam Liga Super dan pemansuhan Liga Perdana buat sementara waktu, tetapi ia juga memperkenalkan Liga Simpanan yang dikhaskan untuk pemain B-23.

“Tujuan kita memperkenalkan Liga Simpanan ini adalah untuk mempersiapkan pemain pelapis-pelapis untuk beraksi dalam saingan Liga Super dan juga Harimau Malaya.

Untuk Liga Simpanan ini sebanyak lapan pemain berusia bawah 23 tahun wajib turun beraksi dengan hanya tiga pemain lebih umur dan import sahaja dibenarkan bermain di atas padang. Untuk pemain import hanya dua pemain sahaja dibenarkan beraksi dalam satu masa.

Setiap pasukan adalah pilihan samada mahu guna pemain import dalam kuota tersebut atau menggunakan seratus peratus pemain tempatan lebih umur. Tujuan ini adalah untuk mempersiapkan pemain muda ini untuk mendapat perlawanan kompetitif sekaligus mereka tidak berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri jika diserap ke skuad utama yang beraksi di Liga Super.” katanya.

Pada masa sama MFL juga menambah kuota pemain import Liga Super dari lima (3 terbuka+1 AFC+1 ASEAN) kepada enam pemain import, serta tiga lagi pemain import untuk saingan Liga Simpanan pada musim hadapan.

Sumber foto: MFL

Walaupun kuota pemain import di Liga Super ditambah, tetapi pihak MFL masih mengekalkan lima pemain import di atas padang pada setiap perlawanan yang mana seorang lagi pemain import akan duduk dibangku simpanan sebagai gantian bila-bila masa (untuk seseorang pemain import di atas padang).

Sementara itu, susulan penambahan pasukan dalam Liga Super, Ab Ghani juga memberitahu hadiah kemenangan berkemungkinan akan dinaikkan dari RM1 juta kepada satu jumlah yang akan didedahkan nanti.

“InsyaAllah! Kontrak penaja ketika ini akan tamat tidak lama lagi, jadi pihak kita akan cuba cari penaja baru dan dari situ kita akan melihat berapa jumlah pendapatan MFL sebelum kita tentukan jumlah hadiah kemenangan.” kata Ab Ghani.