Dua pasukan masih bergelut dengan masalah gaji

5,929

Presiden Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan mengakui masalah gaji pasukan bola sepak di negara masih lagi ada tetapi ia tidak lagi seteruk seperti satu ketika dahulu.

“Masalah gaji ni memang ada tapi tak semua pasukan, hanya dua pasukan saja yang ada masalah. Oleh sebab itu, kita di peringkat perlesenan sendiri menekankan dengan begitu teliti yang mana kita akan memeriksa setiap minggu tentang status kelab-kelab ini.

Tetapi kalau kita lihat pun, ia bukan gagal bayar gaji sebaliknya lambat bayar sahaja,”

katanya.

Ab Ghani bagaimanapun tidak mendedahkan identiti pasukan yang dimaksudkannya itu.


Tambahnya lagi, masalah gaji membabitkan pasukan juga semakin berkurangan yang mana jumlah tunggakan kini sekitar RM4 juta berbanding sebelum ini hampir RM20 juta.

“Banyak perubahan yang berlaku sejak FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan MFL membuat penstrukturan dari FA kepada FC.”

MFL telah mengadakan satu mesyuarat luar biasa bersama rakan kongsi yang mana kesemua mereka setuju dengan rombakan semula Liga Super yang akan menyaksikan bilangan pasukan bersaing akan bertambah kepada 18 pasukan.

Sumber foto: MFL

Rombakan liga berkuatkuasa pada musim hadapan juga akan menyaksikan saingan Liga Perdana dimansuhkan buat sementara waktu yang mana ia akan diwujudkan semula pada masa hadapan dengan jenama baru iaitu Liga M2.

Keputusan drastik itu adalah bagi memastikan saingan Liga Super menjadi lebih kompetitif dengan setiap pasukan akan bermain sebanyak 34 perlawanan berbanding 22 ketika ini.

Pada masa sama, ia juga bertujuan untuk merapatkan jurang kumpulan usia, jaminan minit permainan dan juga mengekalkan standard antarabangsa.

“Pihak MFL mahu memastikan Liga Malaysia berada di dalam peta bola sepak Asia yang mana rombakan semula Liga Malaysia menjadi satu langkah positif kepada semua pihak.

Kita mengambil kira tuntutan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) yang sentiasa mahu ahli gabungan meningkatkan standard dan kita tidak mahu pasukan Liga Malaysia ketinggalan.”

Dalam pada itu, selain penambahan pasukan dalam Liga Super dan pemansuhan Liga Perdana, MFL juga akan memperkenalkan Liga Simpanan yang akan memberi fokus pada pemain bawah usia 23 tahun.

Sumber foto: MFL

Untuk Liga Simpanan, setiap pasukan diwajibkan menyenaraikan lapan pemain tempatan bawah 23 tahun sepanjang tempoh 90 minit permainan dengan diberi pilihan untuk memasukkan tiga pemain lebih usia atau pemain import (tiga pemain import dibenarkan untuk skuad di Liga Simpanan, tetapi hanya dua sahaja boleh diturunkan dalam setiap perlawanan).

Saingan Piala Belia (B-19) dan Piala Presiden (B-21) akan terus dikekalkan, tetapi MFL akan bekerjasama dengan FAM untuk memastikan format dan jumlah perlawanan kedua-dua saingan ini memenuhi semua piawaian antarabangsa.

Keputusan untuk merombak saingan Liga Malaysia ini dibuat apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada awal tahun lalu telah mengeluarkan kenyataan bahawa pemain di Liga Malaysia kekurangan perlawanan kompetitif dalam saingan domestik.