Baru 6 bulan di Bosnia, Rafieq Al-Amzar sudah diserap ke skuad utama NK Zvijezda Gradacac

1,987

Pemain muda negara, Rafieq Al-Amzar membuktikan pengorbanannya berkelana ke Bosnia telah membuahkan hasil apabila berjaya diserap ke skuad utama NK Zvijezda Gradacac.

Sepanjang tempoh percubaaan selama enam bulan, Rafieq bekerja keras untuk mempamerkan aksi terbaik bagi memikat ketua jurulatih skuad utama pasukan itu dan akhirnya beliau berjaya melakukannya.


“Saya dapat tawaran untuk bermain dengan skuad utama semenjak tahun lalu di mana saya telah menjalani trial selama enam bulan.

Dalam tempoh enam bulan itu saya bekerja keras dan mempamerkan prestasi terbaik saya. Dari situ, jurulatih yang melihat aksi saya tertarik dan menawarkan saya untuk naik ke skuad utama,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Rafieq bermain untuk skuad B-19 untuk enam bulan yang mana beliau bermain dalam 16 perlawanan dan berjaya menjaringkan tujuh gol dan membuat enam bantuan gol.

Dalam pada itu, pemain berusia 19 tahun ini mengakui berlatih bersama skuad utama dengan skuad B-19 sangat berbeza dari segi intensiti.

“Sangat berbeza kerana latihan bersama skuad utama kita tidak boleh main-main sebaliknya perlu berada dalam keadaan sentiasa bersedia dan latihan pula berintensiti tinggi.

Bagaimanapun saya tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan sebegitu kerana saya memang sudah biasa berlatih dengan skuad utama walaupun bermain dengan skuad B-19 ketika itu.”

Sementara itu, Rafieq turut menyuarakan kesediannya untuk menyarung jersi Harimau Malaya sekiranya dipanggil oleh jurulatih pasukan kebangsaan.

“Buat masa ini saya masih belum menerima sebarang panggilan untuk menyertai kem latihan negara, tetapi saya sudah bersedia dan akan memberikan yang terbaik jika dipanggil untuk menyarung jersi Harimau Malaya.”

Rafieq turut berharap agar pemain-pemain muda negara supaya mencari pengalaman bermain di luar negara sekiranya mendapat peluang kerana pengalaman sebegini sangat penting buat seorang pemain bola sepak.