Bawalah pemain seperti Ronaldo atau Messi sekalipun, kita masih perlukan nasib untuk menang dengan JDT! – Hilal El-Helwe
Penyerang pasukan Penang FC, Hilal El-Helwe mengakui kehebatan lawan, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas kecundang di tempat sendiri.
Menurut Hilal, ketiadaan ketua pasukan, Endrik dos Santos sedikit sebanyak memberi kesan kepada prestasi keseluruhan pasukan.
“Saya tidak pasti tentang keadaan Endrick tetapi perlawanan menentang JDT sangat-sangat menguji kemampuan kita.
Walaupun anda membawa pemain seperti Cristiano Ronaldo dan Leo Messi, kita masih memerlukan tuah dan hari ini nasib tidak menyebelahi kami,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Gandingan Hilal bersama penyerang baru, Lucas Espindola Da Silva gagal menembusi kekebalan barisan pertahanan JDT.
Kehadiran pemain seperti Shahrul Saad dan Carli De Murga berjaya menghalang kemaraan dua penyerang import ini untuk melakukan percubaan merbahaya ke arah gawang gol yang dikawal oleh kapten pasukan kebangsaan, Farizal Marlias.
“Saya merasa sedih, pasukan Penang telah memberikan yang terbaik namun jaringan menjadi pemisah kepada perlawanan malam ini.
Pasukan JDT mempunyai pemain yang berpengalaman dan memberi kesukaran kepada kita.”
Kesukaran ini turut dapat dilihat menerusi jumlah percubaan dan penguasaan bola yang dicatatkan oleh pasukan Harimau Kumbang sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.
Sepanjang perlawanan, Penang telah melakukan lima percubaan dan hanya satu daripadanya menuju tepat ke arah gawang JDT.
“Saya rasa kami tidak mendapatkan banyak peluang.
Kami akan beri sehabis baik pada perlawanan seterusnya untuk menang.”
Selesai perlawanan, pasukan kendalian ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan menghuni tangga terakhir liga selepas hanya berjaya memperoleh satu kemenangan dari 12 perlawanan liga setakat ini.
Penang akan bertemu Sri Pahang FC di saingan suku akhir Piala FA Sabtu ini.