Setiap pemain JDT sudah tahu apa yang perlu dilakukan setiap kali turun beraksi – Jorge Alvarez

4,166

Jurulatih kecergasan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jorge Alvarez memberitahu bahawa setiap pemainnya sudah tahu apa yang perlu dilakukan apabila setiap kali turun beraksi bagi memastikan mereka berjaya meraih kemenangan dalam setiap perlawanan.

Alvarez berkata demikian selepas pasukannya berjaya tumpaskan pasukan tuan rumah Penang FC 1-0 dalam perlawanan Liga Super.


“Semua orang di JDT termasuk pemain sudah tahu apa yang mereka perlu lakukan dan mereka akan berikan yang terbaik bagi mendapatkan keputusan yang dimahukan oleh kami,”

katanya.

Pada perlawanan malam tadi, Alvarez telah diberi tanggungjawab untuk menggalas jawatan sebagai pengendali pasukan bagi menggantikan ketua jurulatih Benjamin Mora yang tidak dapat bersama pasukan atas hal peribadi.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai perlawanan tadi, Alvarez mengakui pada separuh masa pertama cubaan mereka untuk bermain secara ‘direct’ tidak membuahkan hasil apabila pasukan Penang berjaya mengekang asakan bertubi-tubi mereka.

“Pada separuh masa kedua pemain sudah tahu apa yang mereka perlu lakukan untuk menang dan akhirnya berjaya menjaringkan gol.”

Tambahnya lagi, walaupun tiada kelibat beberapa pemain utama seperti Bergson da Silva, Shane Lowry dan Leandro Velazquez, namun pemain sedia ada mampu menggalas tanggungjawab itu dengan baik.

“Kami tahu kami mempunyai skuad yang besar jadi ia bagus untuk kelab yang mana kami dapat turunkan mana-mana pemain di bangku simpanan dan mereka akan bersedia untuk memberikan aksi yang baik.”

Skuad Harimau Selatan akan beraksi pada perlawanan suku akhir Piala FA Sabtu ini menentang Melaka United.