Hadiah lebih RM1 juta untuk liga bola sepak budak sekolah habuan ‘gila’

2,404

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkenalkan satu program pembangunan bola sepak dikenali sebagai Liga Tunas Malaysia atau ‘Malaysia Little League’.

Walaupun tujuan pelaksanaan program tersebut adalah untuk mencungkil bakat-bakat baru bola sepak masa depan negara, ia dikecam hebat oleh peminat bola sepak tempatan gara-gara jumlah hadiah ditawarkan yang sangat ‘melampau’.


Sebanyak RM1.046 juta hadiah keseluruhan ditawarkan dengan juara peringkat kebangsaan akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000.

Bagi peringkat sekolah atau akar umbi, jumlah itu adalah terlalu besar dan boleh dianggap sebagai satu pembaziran kerana jumlah sebesar itu boleh dibelanjakan untuk fasiliti pembangunan tahap tinggi.

Lagipun kanak-kanak tidak seharusnya dididik dengan habuan berupa wang tunai, mungkin pingat serta trofi sudah memadai.

Untuk perbandingan, jumlah RM1 juta itu juga adalah sama seperti habuan yang diterima oleh juara Liga Super Malaysia, menunjukkan ia adalah amat besar.

Selain itu, bukankah negara kita sudah banyak program yang boleh mencungkil bakat-bakat di peringkat sekolah seperti kejohanan yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD), Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) serta Liga Suparimau di bawah kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)?

Kewujudan lebih banyak program lagi akan menyebabkan pembaziran berlaku dan lebih sukar untuk meninjau bakat yang betul-betul hebat kerana terlalu banyak program.

Jika KPM betul-betul mahu mencungkil bakat, boleh saja memperkasakan lagi kejohanan di bawah kelolaannya yang sudah sedia ada atau bekerjasama dengan pihak FAM dan NFDP yang sudah mempunyai kepakaran.

Lebih menyedihkan adalah penganjuran Liga Tunas Malaysia ini juga dikatakan memberi kesan kepada bajet untuk NFDP dan menyebabkan liga-liga di bawahnya terpaksa dipendekkan.

Di manakah logiknya mahu memperkasakan lagi bola sepak akar umbi di negara ini tetapi dengan mengorbankan program yang dicipta khas untuk perkara itu (NFDP)?