Format baru Liga Malaysia, kelab masih boleh ‘rotate’ pemain Liga Super dan Liga Simpanan?

2,131

Perubahan format Liga Malaysia musim depan yang diumumkan oleh Malaysian Football League (MFL) menimbulkan pelbagai reaksi berbeza daripada peminat bola sepak tempatan.

Selain penambahan pasukan Liga Super, pemansuhan sementara Liga Perdana yang digantikan dengan Liga Simpanan (Reserve League) dan penambahan kuota import Liga Super kepada sembilan pemain antara yang menjadi perhatian ramai.


Selain itu jumlah permain yang boleh didaftarkan oleh pasukan Liga Super dinaikkan daripada 30 pemain musim ini kepada 32 pemain musim depan, manakala 30 pemain dibenarkan untuk pasukan di Liga Simpanan.

Bagaimanapun, perubahan itu masih belum dijelaskan secara terperinci dan menyebabkan ramai pihak tertanya-tanya sama ada undang-undang yang membolehkan pemain pasukan utama ditukar dengan feeder team dikekalkan musim depan.

Mengikut undang-undang sedia ada, mana-mana pasukan yang mempunyai feeder team di Liga Perdana ketika ini dibolehkan untuk menukar pemain menurut kehendak mereka.

Sekiranya undang-undang sama masih digunakan, ia dilihat bakal memberi kelebihan kepada pasukan-pasukan besar yang mempunyai ramai pemain bintang.

Bagi menjayakan matlamat utama Liga Simpanan iaitu untuk menjadi pentas kepada pembangunan pemain B-23, kebebasan seperti itu sepatutnya dimansuhkan.

Selain itu ramai juga yang mempertikaikan kebenaran dua pemain import di atas padang bagi pasukan di Liga Simpanan kerana ia bercanggah dengan matlamat liga itu sendiri.

Kebenaran pemain import untuk beraksi di Liga Simpanan dilihat akan dieksploitasi oleh pasukan tertentu untuk menjadi tempat ‘penyediaan’ pemain naturalisasi.

Sekarang pun terdapat pasukan yang berlumba-lumba untuk menaturalisasikan pemain bagi ‘mengosongkan’ kuota import mereka untuk pemain lain.

Selain itu ramai juga yang merasakan bahawa rombakan liga ini adalah terlalu cepat dan drastik disebabkan masih banyak kelab yang bergelumang dengan masalah kewangan dan isu gaji.

Selepas ini, setiap kelab wajib mempunyai pasukan simpanan bermakna lebih banyak perbelanjaan yang terpaksa dikeluarkan oleh setiap kelab berbanding sekarang di mana hanya tiga pasukan sahaja yang mempunyai feeder team iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan Terengganu FC.

Tidak mustahil lebih banyak kelab yang akan berdepan isu gaji apabila bermulanya musim depan.

Di satu sudut, perubahan format Liga Malaysia ini adalah satu perkara yang positif terutama dari segi jumlah perlawanan, tetapi banyak sebenarnya yang perlu dijelaskan dan diperincikan oleh MFL supaya ia tidak akan merosakkan mutu liga dan pembangunan pemain muda tempatan.

Jangan apabila ia sudah dilaksanakan musim depan barulah segala kelemahan format baru ini mula nampak, bak kata pepatah ‘sudah terhantuk baru tengadah’.