Danish Darus tekad ulangi kejayaan skuad B-19, mahu contohi sifat kepimpinan Aysar Hadi

933

Kapten skuad B-16 negara, Danish Darus menyasarkan untuk menjadi juara pada kejohanan Piala AFF B-16 yang akan berlangsung di Indonesia hujung bulan ini.

Menurut Danish, beliau mendapat inspirasi daripada kejayaan skuad B-19 negara yang berjaya menjulang trofi Piala AFF B-19 baru-baru ini dan tekad mahu meneruskan kejayaan itu.


“Sebenarnya rasa agak tertekan juga sebab mereka dah jadi juara tetapi saya rasa kami pun mampu melakukan perkara yang sama.

Jurulatih juga sudah lakukan yang terbaik untuk mempersiapkan pasukan bagi menempuhi kejohanan itu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, para pemain telah didedahkan dengan program khusus bagi mewujudkan persefahaman dan keserasian antara mereka.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada ketua jurulatih, Osmera Omaro kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan.

Beliau juga mahu mencontohi sifat kepimpinan yang ditunjukkan oleh kapten skuad B-19 negara, Aysar Hadi ketika kejohanan Piala AFF B-19.

“Saya lihat beliau sentiasa memberi motivasi kepada rakan-rakan dan membantu pasukan secara keseluruhan.

InsyaAllah saya boleh contohi apa yang beliau lakukan bersama skuad B-19.”

Danish meletakkan sasaran selama dua tahun dari sekarang untuk bermain diperingkat yang tinggi dan mahu mengikut jejak pemain Johor Darul Ta’zim, Arif Aiman yang berjaya menembusi skuad utama pada usia muda.