Hadiah ‘wang besar’ di peringkat akar umbi tidak bantu perkembangan pemain – Osmera Omaro

702

Ketua jurulatih skuad B-16 negara, Osmera Omaro berpendapat bahawa pertandingan bola sepak di peringkat akar umbi tidak seharusnya ‘digula-gulakan’ dengan habuan wang tunai yang besar.

Menurutnya, ganjaran seperti itu hanya akan menyebabkan jurulatih serta pemain memikirkan wang dan bukannya perkembangan pemain.


“Untuk peringkat bawah umur ganjaran seperti ini tidak sepatutnya ada kerana jurulatih dan pemain akan buat apa saja untuk menang.

Contohnya mereka mungkin akan meletakkan pemain-pemain yang mempunyai kelebihan dari segi fizikal sahaja jadi saya lihat ia tidak membantu perkembangan pemain,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian selepas diminta untuk mengulas mengenai Liga Tunas Malaysia atau ‘Malaysia Little League’ yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini.

Liga yang dikecam hebat oleh orang ramai itu menawarkan sebanyak RM1.046 juta hadiah keseluruhan dengan juara peringkat kebangsaan akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000.

Tambah Osmera, adalah lebih baik sekiranya wang tersebut digunakan untuk mewujudkan fasiliti yang dapat memberi manfaat kepada perkembangan pemain muda.

“Mungkin KPM dan KBS ada sebab-sebab tersendiri yang mereka sudah fikir dan bincangkan, jadi kena tunggu penjelasan mereka.

Pada pandangan saya dana sebanyak itu boleh digunakan untuk mengadakan lebih banyak pertandingan dan tambah baik tempat latihan.”

Liga tersebut akan disertai oleh 2,940 pasukan dari seluruh negara yang akan bertanding dalam kategori B-16 (lelaki dan wanita) dan B-12 (lelaki sahaja).

Ia dijadualkan bermula di peringkat daerah bermula Ogos ini dan peringkat kebangsaan akan dilangsungkan pada November 2022.