Masa depan bola sepak wanita negara cerah, semakin mendapat perhatian di Malaysia – Mecca Rania
Ketua pasukan skuad B-18 wanita negara, Mecca Rania menzahirkan keterujaan untuk menyaksikan kebangkitan bola sepak wanita di Malaysia.
Ia berikutan kemunculan beberapa saingan liga bola sepak wanita yang telah diwujudkan bagi memberi peluang kepada para pemain untuk mempamerkan bakat mereka.
“Walaupun liga wanita baru menapak di Malaysia, tetapi telah ramai bakat-bakat baru dapat ditemui.
Jadi, dalam dua atau tiga tahun ke depan akan lahir lebih ramai pemain wanita yang berkualiti.”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, pemain berusia 17 tahun ini merupakan sandaran utama ketua jurulatih, Kok Keng Lin untuk mengemudi bahagian serangan negara di kejohanan Piala AFF B-18 Wanita yang akan berlangsung di Indonesia.
Perlawanan pertama skuad negara adalah pada 25 Julai apabila dijadual menentang Myanmar.
Keserasian tidak menjadi masalah untuk Mecca tatkala kebanyakan pemain yang dipilih datang dari Sekolah Sukan Malaysia Pahang.
“Dari segi keserasian, saya rasa tiada masalah kerana kebanyakan dari kami sering bermain bersama sebelum ini ditambah dengan sesi latihan dua minggu ini menambahkan lagi keserasian tersebut.
Kami baru selesai latihan selama dua minggu semalam dan saya rasa dengan persiapan ini, kami mampu lakukan yang terbaik di kejohanan ini.”
Skuad negara dilihat berhadapan dengan laluan sukar apabila mereka diundi bersama pasukan Australia, Myanmar dan Filipina dalam Kumpulan B.
Mecca yang memiliki tubuh badan yang kecil telah menyiapkan senjata rahsia beliau bagi memastikan tugas selaku penyerang dapat dijalankan dengan baik.
“Saya sedar dari segi fizikal mungkin saya dilihat kecil, jadi saya perlu menjadi lebih kreatif untuk melepaskan diri ketika berhadapan dengan lawan yang mempunyai kelebihan fizikal seperti Australia, Myanmar dan Filipina.”
Sebelum ini, Mecca turut diletakkan selaku penyerang utama pada Kejohanan B-17 UEFA Assist Girls 2022 yang dilangsungkan di Ulaanbaatar, Mongolia.
Pasukan Malayan Tigress B-18 berjaya mendapat tempat kedua di kejohanan tersebut setelah memperoleh satu kemenangan dan satu seri daripada tiga perlawanan.
Kelincahan pemain yang berasal dari SMK Shah Alam tersebut akan terus ditagih oleh pasukan negara dalam usaha memberikan aksi cemerlang di Piala AFF ini.