FAM tak letak sasaran, tapi saya sendiri letak sasaran skuad B-18 wanita untuk mara ke separuh akhir – Kok Keng Lin

326

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-18 wanita negara, Kok Keng Lin yakin dengan kemampuan pemainnya untuk layak ke peringkat separuh akhir Piala AFF B-18 di Indonesia walaupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak meletakkan sebarang sasaran.

“Setakat ini pihak FAM tidak meletak sebarang sasaran buat kami, tapi saya sendiri yang letakkan sasaran untuk mara ke peringkat separuh akhir kerana sehingga kini tiada lagi pasukan baik senior atau junior yang pernah layak ke separuh akhir.

Oleh itu, kami mahu mencipta sejarah kami sendiri untuk jadi pasukan pertama layak ke separuh akhir,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Keng Lin berkata sasaran yang diletakkannya itu bukan sekadar sasaran kosong tetapi ia berdasarkan keyakinan pemain dan prestasi berikutan lebih separuh daripada pasukan ini baru sahaja pulang dari Mongolia.


Pada hujung Mei lalu, anak buahnya telah menyertai Kejohanan B-17 UEFA Assist Girls Ulaanbaatar 2022 yang mana mereka berjaya menjadi naib johan.

Malah skuad Malayan Tigress juga telah menjalani latiha berpusat selama 10 hari termasuk mengadakan siri perlawanan persahabatan sebagai persiapan sebelum terbang ke Indonesia.

Dalam pada itu, bekas ketua jurulatih skuad Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-15 ini mengakui di atas kertas sememangnya ranking pasukan negara lebih rendah termasuk perbezaan saiz fizikal, namun beliau tidak melihat saiz fizikal akan menjadi masalah buat anak buahnya.

“Kalau dari segi fizikal memang saya tidak nafikan pasukan lain ada kelebihan tapi kami pun ada kekuatan sendiri untuk mengatasi kekurangan fizikal itu.”

Sementara itu, Keng Lin turut menyambut baik inisiatif yang dilakukan oleh FAM dan persatuan bola sepak lain yang kini mula memberi tumpuan kepada pembangunan akar umbi bola sepak wanita.

Dengan perkembangan positif bola sepak wanita di negara, beliau yakin selepas ini Malaysia akan mempunyai ramai pemain bola sepak wanita yang berkualiti.

“Ia adalah satu inisiatif yang cukup baik untuk perkembangan bola sepak wanita. Tapi jangan letak harapan tinggi untuk melihat keputusan dengan cepat kerana pembangunan bola sepak memerlukan tempoh yang lama.

Bagi saya dalam tempoh 5 ke 10 tahun nanti baru kita akan melihat bola sepak wanita negara menjadi antara pasukan yang terbesar di Asia Tenggara.”