Inisiatif tingkatkan reputasi KL Sports City wajar dipuji, tetapi tumpuan utama harus diberikan kepada padang SNBJ

574

Kawasan yang menjadi lokasi bagi Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) iaitu Kuala Lumpur Sports City dijangka akan lebih meriah dengan pelbagai acara selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bekerjasama dengan syarikat Australia, ASM Global.

Kerjasama itu adalah sebahagian daripada inisiatif Kementerian Belia dan Sukan untuk meningkatkan operasi sedia ada dan juga aktiviti penganjuran acara di kawasan itu.


Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu akan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang akan berlangsung di Wembley Arena, London Sabtu ini.

Walaupun ia adalah satu perkara yang positif bagi menaikkan lagi reputasi KL Sports City, terdapat isu utama yang masih tidak selesai dan masih membelenggu ‘aset’ utama di kawasan itu iaitu SNBJ.

Peminat bola sepak tempatan masih tidak lupa akan kejadian memalukan ketika perlawanan kelayakan Piala Asia antara skuad kebangsaan dan Bahrain yang menyaksikan padang SNBJ bertukar menjadi ‘kolam’.

Semenjak Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan akan menaja kos penukaran rumput di SNBJ Mac lalu, masih belum terdapat tarikh rasmi proses tersebut akan dimulakan.

Sebaliknya, yang sering diumumkan adalah nama-nama artis seperti Billie Elilish, Jay Chou dan Blackpink yang akan menganjurkan konsert di stadium tersebut yang dilihat akan memburukkan lagi keadaan padang.

Ketika ini, penukaran rumput di SNBJ sepatutnya menjadi keutamaan buat PSM memandangkan pihak yang mahu menaja sudah bersedia dan hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada pihak mereka.

Diharapkan lawatan ke London itu dapat memberi satu sinar bukan sahaja buat KL Sports City, tetapi juga buat SNBJ secara khusus.

Memandangkan Ahmad Faizal akan turut serta dalam majlis menandatangani MoU tersebut, mungkin beliau juga boleh menasihati PSM untuk tidak menganjurkan lagi konsert dan acara komersial tetapi menumpukan kepada penukaran rumput dan penambahbaikan fasiliti di dalam stadium.

Ini juga adalah baik untuk reputasinya memandangkan sebelum ini namanya turut terpalit berikutan insiden SNBJ tersebut.

Sebagai seorang menteri jadual beliau sememangnya sibuk dengan pelbagai majlis yang terpaksa dihadiri seperti pelancaran Liga Tunas Malaysia Selasa lalu dan kini menjadi bintang dalam drama bersiri mengenai pemain boling negara, Shalin Zulkifli.

Jadi perjumpaan di sana diharapkan boleh menjadi platform buat beliau dan PSM berbincang lebih lanjut dan membuat keputusan berhubung nasib padang SNBJ.