FAM boleh contohi MHC hantar penjaga gol ke luar negara untuk tingkatkan prestasi
Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengorak satu langkah ke hadapan bagi memantapkan lagi pasukan negara dengan menghantar dua jurulatih penjaga gol ke luar negara untuk menuntut ilmu.
S. Kumar dan Roslan Jamaluddin akan berangkat ke Amsterdam, Belanda, bagi menyertai sebuah akademi terkemuka di dunia iaitu Akademi Penjaga Gol Martijn Drijver, bermula 24 Julai hingga 6 Ogos 2022.
Menurut MHC, perkara itu dilakukan bagi memberi pendedahan kepada kedua-dua jurulatih itu sebelum Piala Dunia 2023 dan Piala Dunia Remaja 2023.
Ia adalah satu inisiatif yang baik oleh pihak MHC dalam meningkatkan lagi tahap hoki negara walaupun skuad negara sekarang adalah salah satu pasukan terbaik dunia.
Perkara ini patut dicontohi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan penjaga gol skuad bawah umur negara terutama penjaga gol utama skuad B-19, Syahmi Adib dan skuad B-23, Azri Ghani.
Musim ini, kedua-dua pemain itu gagal mendapatkan tempat di kelab masing-masing dan menjadi pilihan kedua oleh jurulatih masing-masing.
Azri hanya melakukan dua penampilan bersama KL City FC musim ini manakala Syahmi pula langsung tidak turun bersama Selangor FC II.
Justeru, dengan mengambil contoh yang dilakukan oleh MHC itu, ia dapat meningkatkan lagi prestasi mereka sekaligus memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan.
Ini juga bagus untuk memastikan mereka sentiasa bersedia untuk menghadapi kejohanan peringkat antarabangsa yang akan dilangsungkan selepas ini.
Selepas menampilkan aksi cemerlang pada kejohanan Piala AFF B-19 tempoh hari, Syahmi berkemungkinan akan terus menjadi pilihan menjaga gawang negara bagi kejohanan Piala Asia B-23 2024 yang menjadi tiket untuk ke Olimpik 2024.
Azri juga mungkin menjadi pilihan untuk menghadapi Sukan Asia September depan dan sekiranya beliau terus gagal bermain secara kerap di peringkat kelab ia mungkin memberi kesan terhadap prestasinya.
Selain daripada kejohanan berkenaan, mereka juga boleh menjadi aset negara buat kejohanan AFF yang akan datang.
Ia juga boleh menjadi persediaan yang baik buat kedua-dua pemain dalam menghadapi musim baru Liga Malaysia dengan perubahan format liga.
Kedua-dua pemain itu mungkin akan mendapat minit yang lebih apabila format baru diguna pakai terutamanya di Liga Simpanan, jadi mereka harus bersedia dari sekarang.