Lee Zii Jia ‘kutip’ RM287,899 dari BWF Tour tahun ini, bukti usaha membuahkan hasil

15,257

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) baru saja mengeluarkan senarai pemain-pemain dengan pendapatan tertinggi daripada siri kejohanan BWF Tour yang telah berlangsung setakat 18 Julai 2022.

Setakat tarikh tersebut, sebanyak 15 kejohanan BWF Tour telah dilangsungkan dengan Terbuka Taipei kini sedang berlangsung.


Tiada wakil negara yang berjaya menduduki tangga sepuluh teratas dalam senarai tersebut dengan jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia menjadi pemain Malaysia di kedudukan tertinggi iaitu ke-12 dengan US$64,595 (RM287,899).

Bintang Denmark, Viktor Axelsen pula mendahului senarai tersebut dengan US$232,750 (RM1,037,366).

Ia tidak meghairankan kerana beliau sangat konsisten tahun ini dan telah memenangi empat gelaran BWF Tour iaitu Seluruh England, Terbuka Indonesia, Terbuka Malaysia dan juga Indonesia Masters.

Zii Jia pula berjaya memenangi satu kejohanan BWF Tour tahun ini iaitu Terbuka Thailand pada Mei lalu.

Ini menunjukkan sekiranya seseorang pemain bermain dengan baik dan berusaha bersungguh-sungguh, habuan pastinya akan tiba.

Zii Jia juga kini sudah bergelar pemain profesional, jadi beliau lebih fokus dan tahu dengan apa yang beliau mahukan dalam kariernya dan lebih mudah baginya untuk menyusun perjalanan karier sendiri.

Apa yang diraih oleh Zii Jia ini juga seharusnya menjadi inspirasi dan motivasi buat pemain-pemain lain bukan sahaja dalam badminton tetapi juga sukan lain.

Wang kemenangan ini juga sebenarnya penting untuk seorang atlet bukan sahaja untuk hidup mewah tetapi untuk kegunaan masa depan kerana karier seorang atlet amatlah singkat.

Selain daripada wang kemenangan, sudah tentulah perasaan bangga dapat berdiri di pentas membawa nama negara akan beri kepuasan pada diri sendiri.

Lagipun atlet juga dibayar gaji dan mendapat elaun tertentu oleh kerajaan dan persatuan masing-masing, jadi tiada alasan untuk tidak menampilkan aksi yang baik.

Seperti kata pepatah ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’.

Prestasi pemain-pemain negara pada beberapa kejohanan sebelum ini juga agak mengecewakan terutama apabila dua kejohanan di laman sendiri, Terbuka Malaysia dan Malaysia Masters tidak mempunyai wakil negara di perlawanan akhir.

Pada kejohanan Terbuka Singapura sebelum ini pula, hanya satu wakil negara yang layak ke peringkat separuh akhir iaitu pasangan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai.

Ketua jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky juga sebelum ini pernah berkata bahawa beliau mahukan pasangan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menunjukkan usaha dan semangat yang lebih.

Pada Sukan Komanwel Birmingham yang akan bermula pada 28 Julai ini, badminton diletakkan sebagai salah satu daripada enam sukan penyumbang pingat emas.

Jadi tekanan pastinya dirasai oleh wakil badminton negara yang akan ke kejohanan itu.

Walaupun memenangi Sukan Komanwel tidak ‘menguntungkan’ seperti memenangi kejohanan BWF Tour, ia harus menjadi medan buat atlet kebangsaan menunjukkan bahawa badminton negara masih berada di tahap yang tinggi.