PJ City bakal jadi tumpuan pemain tempatan yang terpinggir dapatkan minit permainan

1,526

Perubahan format Liga Malaysia yang akan dilaksanakan bermula musim depan mendapat pelbagai reaksi daripada peminat bola sepak tempatan.

Apa yang pasti, rata-rata bersetuju bahawa kuota sembilan import yang dibenarkan setiap pasukan Liga Super akan memberi kesan kepada minit permainan pemain tempatan.


Dengan rata-rata pasukan lebih gemar mengisi kuota import mereka dengan pemain di bahagian serangan, ia pastinya akan menyukarkan lagi  penyerang atau pemain sayap tempatan untuk mendapat minit permainan.

Walaupun majoriti pasukan dijangka akan memenuhkan kuota sembilan pemain import, PJ City FC tetap dengan pendirian mereka dengan memberi kepercayaan kepada bakat tempatan.

Popular dengan moto #YakiniLokal, ketua jurulatihnya, P. Maniam percaya bahawa pemilik kelab itu akan terus menggunakan 100 peratus anak tempatan pada musim depan.

Disebabkan itu, kelab berkenaan mungkin akan menjadi tumpuan dan pilihan pemain-pemain yang gagal mendapatkan tempat dalam pasukan, lebih-lebih lagi pemain kebangsaan yang terdesak untuk mengekalkan tempat mereka dalam skuad negara.

Antara bakat-bakat besar tempatan yang gagal mendapat minit permainan dengan kerap ketika ini adalah Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad, Shahrel Fikri dan ramai lagi.

PJ City juga semestinya akan terbuka untuk menerima kesemua pemain ini kerana ia mampu menguatkan lagi pasukan mereka.

PJ City ketika ini berada di tangga kesembilan liga di hadapan Sarawak United FC, Sri Pahang FC dan juga Penang FC yang kesemuanya menggunakan maksimum lima kuota import.

Jadi boleh dikatakan mereka melakukan tugas yang agak baik dan menunjukkan tidak mempunyai masalah untuk bersaing walaupun tanpa pemain import.

Mungkin pasukan lain yang kurang berkemampuan boleh mengikut apa yang dilakukan oleh PJ City kerana walaupun tidak mempunyai pemain import, mereka mampu bersaing dengan pasukan-pasukan lain.

Antara punca utama kelab-kelab di Malaysia mempunyai masalah kewangan adalah disebabkan gaji pemain import yang terlalu mahal.

Sekiranya lebih banyak pasukan yang ‘sedar diri’ akan kemampuan mereka, isu tunggakan gaji mungkin tidak akan kedengaran lagi selepas ini.

Dalam pada itu, jika ramai pemain tempatan ternama yang memilih untuk ke PJ City bagi mendapatkan minit permainan, tidak mustahil mereka mampu melakukan kejutan musim depan, mungkin juga mampu berada di kedudukan lima teratas.

Kebolehan PJ City bersaing dengan pasukan-pasukan lain dalam Liga Super membuktikan bahawa pemain tempatan juga mampu berdiri sama tinggi dengan pemain import sekiranya mereka berusaha bersungguh-sungguh.