Awalluddin idam bawa Piala Malaysia pertama ke Pahang Rangers, tekad beri aksi terbaik di perlawanan akhir

393

Pemain muda Pahang Rangers FC FC (PRFC), Awalluddin Mat Nawi telah memasang impian peribadi menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia Futsal 2022.

“Kami ingin menikmati perlawanan akhir ini, menang kalah itu sudah pasti tapi kami berjanji untuk beraksi dengan baik.

Ini adalah edisi Piala Futsal Malaysia yang pertama, saya ingin beraksi dengan baik dan membantu Pahang Rangers menjadi juara,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Lawan mereka, Selangor MAC mempunyai rekod yang baik selaku juara Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) tambahan pula mereka akan beraksi di gelanggang keramat, Kompleks Sukan Negara Panasonic.


Namun, situasi ini tidak akan memberi tekanan sama sekali kepada pemain pasukan Pahang terutamanya Awalluddin yang optimis untuk meneruskan momentum kecemerlangan yang telah dipamerkan oleh pasukan sepanjang kejohanan.

Khidmat Awalludin selaku antara pemain utama pasukan Pahang dilihat akan terus ditagih oleh ketua jurulatih, Gerard Casas di dalam usaha untuk melakukan kejutan pada perlawanan akhir.

“Saya berasa teruja kerana ini merupakan kali pertama pertandingan Piala Malaysia Futsal ini diadakan.

Dalam masa yang sama, tetap ada rasa gementar kerana kami akan bertemu dengan pasukan yang kuat tapi kami akan lakukan yang terbaik.”

Pada aksi separuh akhir kedua menentang pasukan Pulau Pinang, bintang muda negara ini muncul wira selepas menyumbang dua jaringan untuk menewaskan pasukan tersebut 7-3.  

Pada masa yang sama, tiada perubahan drastik yang dilakukan oleh kem pasukan Pahang sebaliknya menumpukan kepada kelebihan yang dimiliki oleh pasukan mereka yang turut dibarisi oleh beberapa pemain berpengalaman seperti Abu Haniffa dan Saiful Nizam.  

“Kami tetap menggunakan corak permainan yang sama, tapi kami lebih tajamkan di mana-mana bahagian yang kurang.

Setakat ini, kami telah menjalankan beberapa persiapan untuk memperbaiki segala kekurangan pasukan untuk perlawanan dengan Selangor MAC nanti.”

Awalluddin sebelum ini terpaksa berehat panjang susulan daripada kecederaan lutut yang dihadapinya pada saingan awal MPFL pada perlawanan menentang pasukan Negeri Sembilan.

Situasi tersebut turut menyebabkan pemain ini terlepas aksi bersama pasukan kebangsaan.