Gerard Casas langsung tidak terkejut dengan pemilihan venue perlawanan akhir, sudah jangka dari awal

606

Pemilihan lokasi perlawanan akhir Piala Malaysia Malaysia 2022 yang diadakan di gelanggang keramat Selangor MAC mendapat pelbagai reaksi terutamanya daripada peminat pasukan Pahang Rangers FC (PRFC) yang menyifatkan keputusan ini sebagai berat sebelah.

Namun ketua jurulatih PRFC, Gerard Casas sudah menyiapkan mental anak buahnya untuk melakukan kejutan pada aksi perlawanan akhir di Kompleks Sukan Negara Panasonic.  


“Saya tidak terkejut dengan pemilihan venue perlawanan, saya sudah jangkakan dari awal.

Bagi saya, tiada perbezaan jadi kami akan terus meletakkan sasaran untuk menang di sini.”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahan pula, PRFC telah melalui laluan yang getir dalam perjalanan mereka menuju ke perlawanan akhir.

Kekalahan di pusingan pertama separuh akhir di tangan pasukan Pulau Pinang sedikit sebanyak menggusarkan para peminat.

Namun, atas keyakinan dan usaha para pemain, mereka berjaya bangkit di perlawanan kedua separuh akhir selepas membelasah pasukan Pulau Pinang untuk mencatatkan argegat 9-6 untuk mara ke perlawanan akhir.

“Kami berhadapan dengan laluan yang sukar ke perlawanan akhir dengan pemain muda yang dimiliki oleh pasukan.

Saya rasa ini adalah masa untuk menikmati perlawanan ini dan saya sering ingatkan kepada para pemain bahawa mereka berhak berada di perlawanan akhir.”

Pada masa yang sama, Casas tidak ingin meletakkan sebarang tekanan tambahan kepada para pemainnya bagi memastikan mereka mampu menggalas cabaran dan beraksi dengan baik.

“Saya rasa para pemain tidak memerlukan motivasi, sudah semestinya para pemain akan memberikan aksi yang terbaik.

Kadang kala di perlawanan akhir, motivasi berlebihan akan menjadi tekanan besar yang menyebabkan kesilapan dilakukan oleh para pemain.”

Gandingan penyerang kebangsaan, Ridzwan Bakri dan Awalluddin Mat Nawi akan menjadi sandaran utama yang akan digunakan oleh Casas dalam usaha untuk menembusi gawang gol pasukan Selangor MAC.

Persiapan yang rapi telah dilakukan oleh barisan kejurulatihan PRFC untuk memahami rentak dan pendekatan permainan yang akan digunakan oleh pasukan lawan mereka.

“Kami telah menganalisis dan memahami corak permainan Selangor MAC dengan lebih mendalam dan mereka mempunyai model permainan yang jelas terutamanya di bahagian serangan.

Kami juga telah lakukan beberapa perubahan menjelang perlawanan akhir tapi tidak akan ada pertukaran yang drastik.”

Aksi terakhir kedua-dua pasukan di saingan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) berakhir dengan keputusan seri 2-2.