Tempoh persiapan yang singkat petanda kualiti futsal negara semakin ketinggalan dari negara jiran– Ridzwan Bakri

498

Penyerang pasukan Pahang Rangers FC (PRFC), Ridzwan Bakri tampak kecewa dengan prestasi semasa yang dipamerkan oleh pasukan futsal kebangsaan di beberapa kejohanan rantau Asia Tenggara baru-baru ini.

Antara faktor yang dilihat menjadi punca utama kegagalan skuad negara adalah waktu latihan dan persiapan yang sangat singkat bagi menghadapi sesebuah kejohanan.


“Futsal di Malaysia lebih ketinggalan dari negara-negara yang lain seperti pasukan Indonesia dari segi taktikal.

Mereka dilihat mempunyai tempoh persiapan tiga hingga enam bulan dan ternyata jauh lebih panjang daripada pasukan negara kita.”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pemain kebangsaan itu turut berharap agar sesuatu akan dilakukan oleh pihak pengurusan bagi memperbaiki perkara ini di masa hadapan agar pasukan negara tidak terus menjadi antara pasukan belasahan di rantau ini.

“Saya berharap selepas ini akan ada sebuah kem latihan pusat yang dilakukan oleh skuad negara untuk membina kesefahaman di antara pemain walaupun tiada kejohanan dalam masa terdekat.”

Dalam pada itu, Ridzwan merupakan antara pemain utama yang akan menggalas cabaran pasukan PRFC di perlawanan akhir Piala Malaysia Futsal 2022 menentang Selangor MAC.

Perlawanan ini akan menjanjikan aksi yang menarik tatkala kedua-dua buah pasukan dibarisi oleh pemain berkualiti dan mempunyai pengalaman yang luas dalam kancah futsal negara.

Ridzwan bertekad untuk pamerkan aksi terbaik bagi merealisasikan impian mendakap kejuaraan pertama untuknya dan pasukan.

“Persediaan untuk perlawanan akhir, kami semua telah melakukan latihan secukupnya sepanjang minggu ini kerana kami berharap untuk mencapai kejuaraan.

Lebih-lebih lagi, saya sendiri masih belum memiliki sebarang piala kejuaraan setakat ini.”

Sepanjang empat perlawanan Piala Malaysia Futsal 2022, Ridzwan telah berjaya menjaringkan lima gol untuk membantu pasukannya mara ke perlawanan akhir.

Pemain berasal dari Sabah ini telah berjaya membuktikan kredibiliti beliau sebagai antara penyerang utama yang dimiliki oleh pasukan negara.

Beliau turut berada di landasan terbaik untuk dinobatkan selaku penjaring terbanyak mendahului beberapa orang pemain termasuk import pasukan Selangor MAC, Matheus Vasconcelos dari Brazil.

Sebelum  ini, ketajaman Ridzwan berjaya membantu pasukan PRFC untuk kembali bangkit menewaskan pasukan Pulau Pinang di perlawanan separuh akhir kedua.