Pahang Rangers mampu cipta kejutan, gesa rakan sepasukan fokus pada perlawanan akhir selaku pasukan pilihan – Fariq Muhammad

499

Ketua pasukan Selangor MAC, Fariq Muhd mengakui kehebatan yang dimiliki oleh pasukan lawan mereka, Pahang Rangers FC (PRFC) menjelang aksi perlawanan akhir Piala Malaysia Futsal 2022.

Fariq tidak meletakkan mana-mana pemain tertentu sebagai sasaran utama untuk diberi kawalan yang lebih oleh para pemain pasukan Selangor MAC bagi memastikan kejuaraan menjadi milik mereka.


“Bagi saya Pahang Rangers memiliki barisan pemain yang merbahaya dan para pemain perlu sentiasa berjaga-jaga.”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu, kehangatan perlawanan akhir ini sedikit dicemari oleh isu pemilihan gelanggang perlawanan akhir yang telah dibangkitkan oleh para penyokong pasukan PRFC.

“Kontroversi yang berlaku pada minggu ini sedikit sebanyak mengganggu fokus pemain, tetapi saya berharap agar mereka dapat melupakan isu luar dan fokus kepada perlawanan sahaja.”

Pada masa yang sama, Selangor MAC akan turun dengan reputasi selaku juara Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) bagi musim ini.

Kejayaan ini turut menjadikan mereka selaku pasukan pilihan tatkala rekod pertemuan kedua-dua pasukan juga lebih berpihak kepada pasukan Selangor.

“Menjadi pasukan pilihan tidak memberi tekanan kepada pemain kerana saya percaya bahawa semua pemain yang dimiliki oleh Selangor MAC mempunyai kualiti yang baik.

Latihan dan persiapan pasukan berada di tahap yang cukup baik meskipun terdapat beberapa pemain yang tidak berada dalam keadaan yang baik.”

Fariq selaku antara pemain berpengalaman perlu memastikan kesemua rakan sepasukannya dapat mengekalkan fokus sepanjang perlawanan berlangsung.

“Saya rasa setiap kali perlawanan menentang pasukan Pahang Rangers akan menjadi sengit dan sedikit panas.

Jadi kami akan cuba untuk mengawal emosi dengan sebaiknya pada perlawanan akhir ini.”

Fariq yang telah berjaya menjaringkan tiga gol sepanjang empat aksi di saingan Piala Malaysia Futsal tahun ini merupakan antara penjaring terbanyak pasukan.

Ketajaman beliau di hadapan gawang akan terus dijadikan sebagai senjata utama pasukan untuk merobek gawang gol Pahang sekaligus menjulang piala yang pertama kali diadakan di hadapan penyokong mereka sendiri.