Selangor Mac ramai bintang tetapi semua hormat antara satu sama lain – Ahmad Khari

344

Pemangku jurulatih Selangor Mac, Ahmad Khairi Aswad mengakui tidak mempunyai masalah mengendalikan pasukan Selangor Mac walaupun dibarisi ramai pemain bintang.

Menurutnya, para pemain memberikan kerjasama yang baik kepadanya dan menunjukkan disiplin yang tinggi serta menghormati antara satu sama lain.


“Memang pasukan ini dibarisi pemain bintang tetapi mereka menghormati saya walaupun saya agak baru dalam kancah kejurulatihan.

Apa-apa arahan yang diberikan mereka dapat turuti dan cuba berikan yang terbaik dalam latihan dan hari perlawanan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurutnya persiapan pasukan untuk menghadapi perlawanan akhir Piala Malaysia Futsal berada dalam keadaan yang amat baik dan sudah bersedia untuk menghadapi cabaran Pahang Rangers.

Beliau juga memberitahu ada melakukan analisa video mengenai pasukan lawannya itu untuk merangka pelan dan strategi yang terbaik.

“Kita akan  cuba menembusi pertahanan Pahang Rangers yang kita tahu mempunyai penjaga gol luar negara dan salah seorang pemain terbaik.

Saya rasakan para pemain akan dapat melaksanakan tugas yang diberi, seterusnya membawa pulang piala ke Selangor tahun ini.”

Tambahnya, beliau sentiasa berpesan kepada para pemain supaya kekal fokus sepanjang perlawanan kerana apa-apa sahaja boleh berlaku dalam sekelip mata.

Beliau berharap kedua-dua pasukan dapat menampilkan aksi yang terbaik pada perlawanan tersebut demi peminat yang hadir.

Perlawanan akhir Piala Malaysia Futsal 2022 akan berlangsung pada pukul 8.00 malam esok di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam.