Disiplin dan insaniah pemain sangat penting buat Kinabalu Jaguar FC – Mohd Aiyyman Shah

238

Prestasi cemerlang sesebuah pasukan bola sepak tidak datang dengan mudah kerana ia adalah hasil kerja keras berterusan termasuk mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak iaitu pihak pengurusan, barisan kejurulatihan dan juga pemain.

Itulah yang cukup diterapkan oleh pasukan Kinabalu Jaguar FC (KJFC) yang menyaksikan mereka kini berada di puncak Kumpulan A Liga M3.


Menurut ketua jurulatih KJFC iaitu Mohd Aiyyman Shah Johny Abdullah, beliau dan pihak pengurusan sangat mengutamakan keharmonian dalam pasukan.

“Di KJFC kita bukan kelab bola sepak biasa yang mana pemain datang untuk main bola saja, tetapi kita perlu utamakan disiplin dan insaniah setiap pemain.

Kami mahu didik pemain kami menjadi seorang yang berdisiplin dan juga menghormati antara pemain dan orang lain,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Aiyyman Shah juga berkata walaupun mereka bermain di liga amatur, tetapi itu bukan alasan buat mereka untuk mengambil mudah pada setiap perlawanan kerana saingan Liga M3 ketika ini sangat kompetitif berikutan ia turut mempunyai beberapa bekas pemain dari Liga Super dan Liga Perdana.

Beliau berkata prestasi konsisten yang dipamerkan oleh KJFC bukan sahaja daripada pemain tetapi juga secara keseluruhan pasukan termasuklah pihak pengurusan.

Dalam pada itu, Aiyyman Shah menyambut baik pengumuman Malaysian Football League (MFL) dengan penstrukturan Liga Malaysia pada musim hadapan yang mana menyaksikan saingan Liga Super akan mempunyai 18 pasukan, manakala saingan Liga Perdana pula dimansuhkan.

“Untuk Liga Malaysia ia bagus untuk perkembangan liga, tetapi untuk kami di KJFC banyak faktor yang perlu kami lihat terlebih dahulu. Bukan jaminan kita layak, kita boleh sustain di sana tapi banyak perkara lagi yang perlu dilihat.

Mungkin selepas habis Liga M3 baru kami akan duduk berbincang dengan lebih khusus bagaimana kita hendak ke hadapan.”

Sementara itu, Aiyyman Shah memberitahu pendekatannya untuk setiap perlawanan adalah beliau tidak gemar memberi tumpuan kepada pihak lawan, sebaliknya fokus pada pemain dan permainan untuk tingkatkan lagi permainan KJFC.

“Sasaran kita adalah untuk menang dalam setiap perlawanan tapi sebagai jurulatih saya tidak boleh beri tekanan pada pemain, oleh itu bagi saya apa yang penting adalah pemain mengikut segala taktikal dan percaturan yang telah dirancang dan pamer aksi terbaik, itu saja.”

KJFC yang kini berada Kuala Lumpur dijadual akan menentang pasukan Malaysia University di Stadium UKM, Bangi pada pukul 4.45pm.