Kami mahu menang kesemua baki 3 perlawanan nanti – Leopold Alfonso Otong

1,166

Tonggak utama Kinabalu Jaguar FC (KJFC), Leopold Alfonso Otong berkata mereka mahu mencatat kemenangan bagi baki tiga perlawanan saingan Liga M3 sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan mereka di puncak Kumpulan A.

Walaupun KJFC sudah layak ke peringkat suku akhir Liga M3, namun mereka tidak akan mengambil mudah dalam setiap perlawanan yang bakal dihadapi mereka.


“Kami mencari kemenangan dalam baki 3 perlawanan nanti supaya ia dapat memberi motivasi kepada kami pada suku akhir nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ketika ini KJFC berada di puncak kumpulan selepas 15 perlawanan apabila mereka menang 12, seri dua kali dan kalah sekali.

Apa yang lebih menakjubkan apabila mereka berjaya menjaringkan 38 gol dan hanya bolos lapan sahaja.

Leopold Alfonso juga mengakui prestasi cemerlang yang dipamerkan sepanjang musim ini adalah kerana mereka mempunyai keserasian yang cukup baik.

“Antara faktor utama keserasian dalam KJFC adalah sebab semua pemain adalah anak jati Sabah sendiri.

Kami juga mahu buktikan kepada semua orang bahawa anak Sabah juga mempunyai pemain bola sepak berkualiti.”

Dalam pada itu, beliau yang ditanya mengenai pendapatnya mengenai kemungkinan pasukan KJFC mampu naik ke Liga Super musim depan berikutan penstrukturan Liga Malaysia yang telah diumumkan oleh Malaysian Football League (MFL) berkata, beliau dan rakan sepasukan masih belum memikirkan mengenai perkara itu buat masa ini.

“Saya dan rakan sepasukan ketika ini hanya fokus untuk habiskan saingan Liga M3 terlebih dahulu. Bila dah selesai baru kita akan fikir apa yang akan berlaku pada masa depan.”

Beliau turut memuji pihak pengurusan KJFC yang sangat profesional dalam menguruskan pasukan yang mana tiada sebarang masalah termasuk tunggakan gaji yang berlaku dalam pasukan.

Ia secara tidak langsung memberi ‘ketenangan’ kepada setiap pemain dan mereka boleh fokus untuk memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

Hari ini (23 Julai), KJFC akan menentang Malaysia University di Stadium UKM, Bangi pada pukul 4.45pm.