Gembira berkongsi anugerah penjaring terbanyak, kesetiaan penyokong jadi pembakar semangat pemain

541

Pemain pasukan Pulau Pinang, Amirul Radzi nyata gembira selepas aksi memberangsangkan bersama pasukan berjaya membantu beliau untuk berkongsi anugerah penjaring terbanyak Piala Malaysia Futsal 2022 dengan pemain Pahang Rangers FC (PRFC), Ridzwan Bakri dengan enam gol.

Meskipun gagal mendapatkan kemenangan, Amirul tetap mempamerkan ketajaman selepas berjaya menjaringkan satu gol di perlawanan penentuan tempat ketiga menentang pasukan Selangor Tot United.


“Saya berpuas hati dengan pasukan walaupun kami tidak berjaya mencapai sasaran untuk mara ke perlawanan akhir,”

katanya kepada Harimau Malaya

Tambahan pula, Amirul berkongsi anugerah ini dengan seorang pemain yang cukup terkenal dalam arena futsal negara.

Ridzwan merupakan antara pemain utama buat skuad kebangsaan di beberapa kejohanan utama dunia termasuk Piala AFF dan Sukan SEA yang berlangsung pada awal tahun ini.

“Saya sangat teruja kerana Ridzwan merupakan antara pemain yang hebat di kancah futsal negara.

Saya tidak menyangka dapat mencapai tahap untuk berkongsi anugerah ini bersama beliau.”

Sebagai seorang pemain yang sedang meningkat naik, Amirul turut memasang impian untuk dipanggil memperkuatkan pasukan kebangsaan selepas ini.

“Kalau ada rezeki saya ingin menyarung jersi kebangsaan dan membantu pasukan Malaysia untuk mencapai kejayaan.

Saya bertekad untuk melakukan aksi yang lebih baik pada saingan musim depan.”

Tidak dapat dinafikan, sokongan penonton pada hari ini menjadi antara motivasi utama kepada pemain untuk memberikan aksi yang terbaik.

Terutamanya kepada Ridzwan yang berjaya membuka akaun jaringannya di perlawanan akhir pada penghujung babak pertama.

“Kami berasa bangga dengan kumpulan penyokong, kalah menang mereka tetap berada di belakang untuk memberikan sokongan.

Walaupun kami kalah, penyokong tidak pernah menjatuhkan semangat kami.”  

Sorakan gemuruh daripada penyokong pasukan Pahang yang mengembara jauh ke Kompleks Sukan Negara Panasonic di Shah Alam turut menjadi nadi kebangkitan pasukan di minit akhir perlawanan namun gagal mengejar kedudukan pasukan Selangor yang berkelebihan satu gol.

Ridzwan sebagai salah seorang pemain utama pasukan Pahang berjaya menjaringkan gol pada kesemua perlawanan di Piala Malaysia 2022 2022.