Daniel Ting akhirnya tampil ucap terima kasih buat KL City FC

5,689

Sejak Daniel Ting kembali ke saingan Liga Malaysia untuk menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT), banyak perdebatan di kalangan peminat bola sepak tanah air.

Ada yang gembira, ada yang sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku dan ada juga yang tidak berpuas hati dengan keputusan Ting itu.


Isu itu timbul kerana pada awal musim lalu, KL City FC memaklumkan bahawa pemain kacukan Malaysia-England ini tidak mahu divaksin dan ada masalah peribadi membuatnya tidak mahu pulang ke Malaysia.

Kedua-dua pihak kemudian telah mencapai persetujuan bersama dengan KL City menamatkan kontrak Ting secara baik.

Namun pada jendela perpindahan kedua baru-baru ini, ramai peminat terutamanya peminat KL City terkejut dengan pengumuman Ting adalah pemain baru JDT.

Pelbagai kritikan dan tohmahan yang dilemparkan kepadanya, namun Ting mengambil pendekatan untuk kunci mulut dari membuat sebarang kenyataan samada di laman sosial mahupun kenyataan rasmi.

Bagaimanapun setelah lebih sebulan berlalu, pemain berusia 29 tahun itu akhirnya membuka mulut apabila memuat naik gambarnya ketika bersama KL City dengan kapsyen; ‘Long overdue but to all at Kuala Lumpur City last year… Thank You! What an incredible season to be a part of’ termasuk hashtag Sampai Mati Kuala Lumpur.

Kenyataan Ting itu berkemungkinan adalah sebagai tanda terima kasihnya kepada KL City yang berjaya melonjakkan kariernya sebagai seorang pemain bola sepak berkualiti.

Pada masa sama juga Ting mungkin mahu berkata ‘hello’ kepada bekas rakan sepasukannya.

Posting tersebut bukan sahaja mendapat reaksi daripada peminat, tetapi juga reaksi daripada pemain JDT dan KL City.

Antara dua komen paling menarik perhatian ramai adalah komen dari penyerang sensasi negara Guilherme de Paula yang meminta pemain itu memadam posting tersebut kerana beliau kini adalah pemain JDT; ‘Delete hehehehhe you are in JDT bodoh hehehee.’

Manakala bekas rakan sepasukan Ryan Lambert pula seakan-akan menyindir Ting dengan berkata; ‘No, thank you!.”

Namun pemain KL City seperti Giancarlo Gallifuoco, Paulo Josue dan beberapa lagi turut berterima kasih kepada pemain itu selain mengucapkan selamat maju jaya buat Ting.

Apa yang berlaku pada Ting adalah perkara biasa dalam dunia bola sepak. Suka atau tidak, peminat perlu menerimanya dengan terbuka.

Ting juga sudah membuat penampilan pertamanya bersama kelab barunya apabila diturunkan dalam skuad JDT II ketika menentang TRW Kelantan FC baru-baru ini.