Jadual padat bulan Ogos jadi penentu nasib Terengganu musim ini
Setelah mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala FA Sabtu lalu, Terengganu FC nampaknya tidak boleh terlalu gembira kerana bakal menghadapi jadual yang amat padat selepas ini.
Bermula dengan perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC Rabu ini, Terengganu akan mengharungi tujuh perlawanan dalam masa 21 hari dengan empat perlawanan dilangsungkan selang tiga hari.
Awal musim ini, dua perlawanan pertama Liga Super melibatkan Terengganu terpaksa ditunda gara-gara pasukan lawan iaitu Sri Pahang FC dan Negeri Sembilan yang kebanyakan pemainnya dijangkiti Covid-19.
Ia menyebabkan Sang Penyu ketika ini merupakan satu-satunya pasukan yang hanya bermain 10 perlawanan dalam liga berbanding pasukan-pasukan lain.
Sudah tentu ini bakal menjadi cabaran yang amat besar buat ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain serta anak buahnya untuk kekal cergas dan fokus.
Persediaan fizikal dan ‘rotation’ akan menjadi salah satu perkara yang penting bagi menghadapi kesemua perlawanan memandangkan kecederaan mudah berlaku ketika mengharungi jadual padat seperti itu
Ketika ini, Terengganu masih berada di landasan terbaik untuk menamatkan saingan di kedudukan tiga teratas serta sudah berada di peringkat separuh akhir Piala FA.
Musim lepas, TFC terlepas kedudukan tiga teratas liga selepas tewas tiga kali dalam lima perlawanan terakhir, memberi peluang buat Kedah Darul Aman FC dan Penang FC memintas di saat-saat akhir.
Jika Terengganu berhasrat menamatkan musim ini dengan cemerlang dan menanam impian untuk beraksi di peringkat Asia, tujuh perlawanan ini dilihat akan menjadi penentu.
Situasi yang dihadapi Terengganu ini amatlah tidak bernasib baik kerana mereka yang terpaksa ‘berehat’ gara-gara pasukan lawan dijangkiti Covid-19.
Negara kini sudah memasuki fasa endemik jadi diharapkan tiada lagi perlawanan yang terpaksa ditangguhkan selepas ini.
Sekiranya musim depan terdapat lagi pengangguhan perlawanan, ia akan menjadi lebih ‘serabut’ memandangkan format baru liga akan dilaksanakan dengan 612 perlawanan liga akan berlangsung berbanding 264 musim ini.